Sunday, 27 April 2014

Presiden AS diberi sambutan negara

KUALA LUMPUR, SABTU, 26 April, 2014: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang tiba hari ini untuk lawatan julung kalinya ke Malaysia diberikan sambutan negara di Dataran Parlimen di sini.

Ketibaan Obama pada pukul 5.40 petang disambut Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menteri-menteri Kabinet.

Sejurus ketibaan beliau di Parlimen berserta 36 buah kenderaan pengiring, lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das.

Presiden AS itu kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Amriza Mohd. Ass­hari.

Obama diperkenalkan kepada jemaah menteri dan tetamu kehormat yang menghadiri upacara itu.

Lawatan selama tiga hari Obama di Malaysia melakar sejarahnya tersendiri apabila menjadi Presiden AS kedua melawat negara ini selepas Presiden Lyndon B. Johnson melakukan perkara serupa pada tahun 1966.

Lawatan Obama bakal membuka peluang kepada Malaysia dan AS untuk melihat perkembangan hubungan dua hala dan membuka lembaran baharu dalam mengukuhkan hubungan pada masa depan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment