Sunday, 27 April 2014

Terima kasih AS - Seri Paduka

 * YANRG di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah melihat Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bersalaman dengan para peserta yang membuat persembahan selepas Majlis Jamuan Negara Meraikan Presiden Amerika Syarikat ke Malaysia di Istana Negara, Kuala Lumpur malam tadi. Turut sama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dan Najib Tun Razak. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, SABTU, 26 April, 2014: Ketika usaha mencari pesawat udara Malaysia yang hilang sedang diteruskan, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan ucapan terima kasih Malaysia kepada Amerika Syarikat (AS) kerana terus memberi sokongan dan kerjasama padunya dalam operasi itu.

Pada majlis jamuan negara meraikan Presiden Barack Obama malam ini, baginda bertitah kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 itu melibatkan penumpang pelbagai negara termasuk Malaysia dan AS.

Seri Paduka bertitah bantuan yang dihulurkan AS itu menjadi bukti wujudnya hubungan rapat antara kedua-dua negara.

"Sesungguhnya, penglibatan saudara sejak peringkat awal misi mencari dan menyelamat itu dan operasi pencarian yang dilakukan ketika ini mencerminkan komitmen kukuh yang wujud antara kedua-dua negara kita," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah baginda gembira melihat hubungan antara Malaysia dengan AS semakin kukuh dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kepentingan bersama dan nilai yang dikongsi kedua-dua negara, begitu pesat berkembang.

"Beta gembira kerana kedua-dua negara kita akan membincangkan cara untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, keselamatan dan pertahanan, pendidikan, tenaga, sains dan teknologi serta hubungan antara rakyat dengan rakyat," titah Seri Paduka.

Obama dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghadiri majlis itu, dijadual mengadakan perbincangan dan menghadiri jamuan kerja tengah hari di Putrajaya, esok. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment