Wednesday, 2 April 2014

Tahanan mati akibat Pulmonary Embolism

 ( SEBAHAGIAN daripada ahli keluarga M. Ragu berada di luar Mahkamah Koroner Kampar ketika menunggu keputusan inkues kematian mendiang di Kampar, Perak, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS
KAMPAR, SELASA, 01 April, 2014: Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian M. Ragu, banduan yang ditemui mati dalam lokap di Balai Polis Kampar, 10 Mac tahun lalu berpunca daripada Pulmonary Embolism iaitu kehadiran darah beku pada sistem salur darah di paru-parunya.

Koroner Nur Melati Diana Abdul Wahab berkata, keadaan tersebut berlaku berikutan hidrasi rendah dan infeksi berpanjangan yang dialami Ragu, 47.

"Keadaan berkenaan menyebabkan berlakunya penutupan pada saluran darah pada paru-paru mangsa.

"Oleh yang demikian saya putuskan kematian si mati adalah sebab semulajadi," katanya ketika memberikan penghakimannya yang dibuat secara lisan.

Sebanyak 10 saksi termasuk pakar patologi dan pegawai penyiasat telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam prosiding yang bermula sejak awal Februari lalu itu.

Prosiding inkues itu dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Loke Kok Mun yang menyoal balas saksi manakala M. Kulasegaran hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga Ragu.

Inkues tersebut diadakan bagi mengesahkan kematian Ragu yang berasal dari Malim Nawar, Kampar setelah keluarganya tidak berpuas hati dengan punca kematiannya.

Ragu sebelum itu telah ditahan oleh pihak polis pada 4 Mac 2013 berhubung tuduhan mencederakan seorang mangsa di bandar Malim Nawar sebelum ditahan reman sehingga 8 Mac.

Mahkamah Majistret Kampar kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan didenda RM2,000 setelah dia mengaku bersalah atas tuduhan itu.

Bagaimanapun, Ragu ditemui mati pada 10 Mac tahun lalu dalam keadaan terbaring di lokap pada kira-kira pukul 8 pagi oleh seorang pengawal yang sedang menggerakkan 11 suspek lain untuk bersarapan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment