Wednesday, 2 April 2014

Telefon bimbit Zara Eleena dalam beg tertuduh

 
SHAH ALAM, SELASA, 01 April, 2014: Telefon bimbit milik pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Zara Eleena Omar Peter yang mati dibunuh di rumahnya, ditemui dalam beg sandang milik tertuduh keempat kes pembunuhan itu.

Detektif Sarjan H'ng Han Taik, 52, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, telefon itu ditemui semasa beliau dan beberapa anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) menahan tertuduh itu, Muhamad Safwan Muhamad di sebuah asrama di Pandan Jaya, Ampang dekat sini, empat hari selepas mayat Zara Eleena ditemui.

Han Taik yang merupakan Penyelia Detektif cawangan D9 Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang berkata, Muhamad Safwan ditahan bersama-sama tertuduh ketiga, Azizi Aizat pada hari dan di tempat yang sama iaitu di sebuah bangunan kedai yang dijadikan asrama pelajar.

Menurut beliau, telefon bimbit jenis iPhone itu disahkan milik mangsa oleh Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan (ASP), Mohd. Nazir Max.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin berhubung reaksi kedua-dua tertuduh ketika ditahan, beliau berkata, mereka kelihatan tenang.

Beliau berkata demikian dalam perbicaraan kes bunuh Zara Eleena, 23, dan bapanya, Omar Peter Abdullah, 56.

Dalam kes itu, empat bekas pelajar KTAC, Mohamad Zul Shahril, 22; Mohamad Sharafe Matt Noh, 21; Azizi Aizat, 22; dan Muhamad Safwan, 22; didakwa membunuh dua beranak tersebut di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, dua tahun lalu.

Mereka didakwa membunuh Zara Eleena yang merupakan orang kurang upaya (OKU) antara pukul 1.30 pagi dan pukul 2.30 pagi, 9 Mac 2012 dan bapanya yang juga pesara syarikat kewangan antara pukul 11.30 malam, 8 Mac 2012 dan 1.30 pagi keesokannya.

Sebelum itu, Han Taik yang merupakan saksi pendakwaan ke-16 berkata, tertuduh pertama, Mohamad Zul Shahril Suhaimi ditahan dekat sebuah warung di Pandan Indah, Ampang bersama-sama abangnya yang dikenali sebagai Zul Fazli pada 12 Mac 2012 iaitu sehari selepas mayat Zara Eleena ditemui.

Katanya, beliau dengan anggota polis yang sama telah menjalankan pemerhatian selama dua jam di kawasan itu setelah diberitahu oleh pegawai penyiasat bahawa Mohamad Zul Shahril sering ke warung tersebut.

Beliau turut memberitahu, tertuduh dan abangnya juga kelihatan agak relaks dan tenang semasa ditahan.

Menurut beliau, pihaknya turut memeriksa dua telefon bimbit jenis Sony Ericsson dan Samsung milik tertuduh pertama itu untuk mengesan panggilan keluar masuk dalam telefon berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdul Halim Aman bersambung esok. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment