![]() |
* SEORANG pemuda dikenali sebagai Fakhrurazi yang mengalami kecederaan parah akibat insiden tembakan rambang, dirawat di sebuah hospital di Banda Aceh, Indonesia, semalam. - AFP |
Kejadian itu merupakan keganasan terbaharu berlaku di barat Indonesia menjelang Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu) 2014 minggu depan.
Kesemua mangsa terkorban malam semalam apabila penyerang melepaskan tembakan ke arah sebuah van mini yang dihiasi beberapa gambar calon pilihan raya dari Parti Aceh, yang menguasai politik tempatan.
Polis berkata, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti identiti penyerang.
Keganasan yang berlaku menunjukkan bahawa tahap keselamatan di Aceh, yang terletak utara Sumatera itu masih lemah.
"Suspek yang bersenjata dipercayai mengekori van mini tersebut yang dinaiki 12 orang penumpang bersama dua bayi. Penyerang melepaskan tembakan dari belakang dan mengenai empat orang," kata Ketua Polis Daerah Bireuen, Ali Khadafi.
Ali berkata, pemandu van mini itu bergegas membawa para penumpangnya ke sebuah pusat rawatan, namun mangsa terdiri daripada bayi berusia 18 bulan, lelaki dan wanita disahkan meninggal dunia sebaik-baik tiba bagi mendapatkan rawatan.
Tambahnya, seorang lelaki dikenali sebagai Fakhrurazi, 35, masih berada dalam keadaan kritikal.
Sejak kempen pilihan raya dilaksanakan, beberapa siri keganasan tercetus di Aceh termasuk insiden tembakan dan serangan bom tangan.
Sebelum ini, seorang calon Parlimen daripada Parti Kebangsaan Aceh (PNA), Faisal ditembak mati oleh sekumpulan penyerang tidak dikenali ketika sedang memandu pada Ahad lalu.
Portal berita Jakarta Post melaporkan, Ketua Polis Negara, Jeneral Sutarman mengesahkan kejadian tembakan di Aceh itu bermotifkan politik.
Kejadian itu merupakan yang kedua di Aceh dalam tempoh tiga minggu, selepas dua lelaki bertopeng menyerang bilik gerakan calon Parti Demokrat Nasional (NASDEM), Zubir HT, serta serangan ke atas dua penyokong calon tersebut pada 16 Februari lalu. - AFP/UTUSAN

No comments:
Post a Comment