Friday, 2 May 2014

Anjur dialog pemantau masa nyata data

 * AHMAD Shabery Cheek (tiga dari kanan) bersama jemputan pada Majlis Perasmian Panggung Wayang Lotus Five Star di Kota Samarahan, Sarawak, malam semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Mei, 2014: Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) akan menganjurkan dialog pakar berkaitan pemantauan masa nyata data penerbangan dari 26 hingga 27 Mei di sini.

ITU dalam siaran akhbar yang disiarkan menerusi laman sesawangnya, www.itu.int berkata, dialog itu diadakan berikutan gesaan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semasa Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia di Dubai bulan lepas.

Pada persidangan itu, Ahmad Shabery menggesa ITU membangunkan sistem tercanggih untuk mempermudahkan penghantaran data penerbangan dalam masa nyata terutama dalam kes seperti insiden kehilangan pesawat MH370 Malaysia Airlines (MAS).

Menurut siaran akhbar itu, faktor yang mendorong acara itu dianjurkan adalah penyiasatan yang rumit terhadap kehilangan pesawat MH370 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 8 Mac.

"Kesukaran yang dihadapi dalam operasi mencari MH370 telah menunjukkan tentang perlunya untuk menambah baik kaedah identifikasi dan pengesanan pesawat komersial semasa dalam penerbangan," menurut siaran akhbar itu.

Siaran akhbar itu juga memetik Ahmad Shabery sebagai berkata, Malaysia ingin memberi sumbangan kepada usaha antarabangsa untuk mencari jalan bagi mengesan pesawat komersial dalam masa nyata.

"Kami yakin bahawa ia akhirnya akan menghasilkan keputusan positif. Kami masih meneruskan usaha menjejaki MH370 lebih tujuh minggu selepas kehilangan pesawat.

"Ini mungkin tidak membantu kami untuk mencari pesawat atau kotak hitam. Tetapi kami berharap dengan langkah ini, tiada lagi negara, rakyat atau keluarga akan melalui apa yang kami tanggung," kata Ahmad Shabery.

Setiausaha Agung ITU, Hamadoun I Toure berkata, ketika operasi pelbagai negara untuk mencari pesawat diteruskan, langkah segera perlu diambil di peringkat antarabangsa untuk meningkatkan keberkesanan pemantauan pesawat.

"Ingatan dan doa kami sentiasa bersama anggota keluarga penumpang yang bersedih ekoran kehilangan penerbangan MH370. Acara ini (dialog) akan berfungsi bagi mempercepatkan usaha sekarang untuk mencapai kesepakatan berhubung pelaksanaan sistem pemantauan masa nyata bagi industri penerbangan," kata Toure.

Operasi mencari yang disertai pelbagai negara dikerah untuk menjejaki pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi, apabila disahkan MH370 telah melencong daripada laluan asal penerbangan.

Siaran akhbar itu menyebut ICT memainkan peranan penting untuk menjamin keselamatan dan keberkesanan operasi berpuluh-puluh ribu penerbangan setiap hari.

"Sistem teknologi moden boleh membantu dalam pemantauan lokasi pesawat dan dengan itu menambah baik keberkesanan operasi penyelamat yang dilancarkan oleh pihak berkuasa dalam situasi kecemasan," jelas siaran akhbar itu.

Mesyuarat pertama pakar dijangka merangka jadual yang akan menggariskan hala tuju dalam konteks penyelarasan dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mencari jalan keluar dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi pemantauan masa nyata data penerbangan.

Perkara yang disentuh semasa perbincangan termasuk liputan geografi sistem pemantauan yang dicadangkan, jenis data yang hendak dihantar ke stesen bumi dan kadar transmisi yang perlu, keselamatan data, pemilikan data penerbangan, dan kos dan perubahan pada model yang diperlukan bagi melaksanakan sistem seperti itu secara global.

Sementara itu, ketika beliau berucap pada Majlis Perasmian Panggung Wayang Lotus Five Star (LTF) di Pusat Beli-Belah Summer di Kota Samarahan, Sarawak, malam tadi, Shabery berkata, karya penggiat filem dan drama yang menggunakan Sabah dan Sarawak sebagai latar belakang sinematografi akan diberi keutamaan untuk ditayangkan di Radio Tele-visyen Malaysia (RTM).

"Nilai tambah ini juga membantu kerajaan dalam mempromosikan sektor pelancongan negara menerusi kepelbagaian lokasi menarik yang terdapat di semua negeri.

"Saya sendiri memberitahu kepada rakan-rakan di RTM mengenai mana-mana penerbit atau pengarah yang menggunakan Sarawak sebagai latar belakang drama mereka, saya akan memberi keutamaan yang lebih," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment