Friday, 2 May 2014

Bangunan baharu mesti unik

Oleh HUSSAINI AMRAN

* DR. Mahathir Mohamad menerima cenderamata daripada Ronnie Choong (kiri) sambil diperhatikan Ahmad Phesal Talib (kanan) selepas menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Reka di KLCC, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Mohd. Farizwan Hasbullah
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Mei, 2014: Pembinaan bangunan baharu pada masa akan datang perlu mengambil kira aspek seni bina yang unik agar dapat dijadikan sebagai ikon pelancongan di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, walaupun Menara Berkembar Petronas masih kekal sebagai ikon pelancongan, perancangan untuk membina bangunan yang lebih tinggi perlu diteruskan.

"Saya bangga kerana Menara Berkembar Petronas kekal sebagai ikon walaupun ada perancangan untuk membina bangunan melebihi 100 tingkat.

"Saya yakin kita tidak boleh menahan pembangunan yang akan dilakukan, cuma harapan saya, biarlah ada seni bina yang unik," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Reka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur City Centre (KLCC), di sini hari ini.

Yang turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Presiden Pertubuhan Perekabentuk Dalaman Malaysia (MIID), Ronnie Choong.

Sementara itu, Dr. Mahathir berpandangan, usaha memulihara bangunan lama di negara ini berdepan kesukaran memandangkan sebahagian besar struktur diperbuat daripada kayu.

"Saya dapati ramai yang mengambil berat tentang apa yang kita warisi dari zaman dahulu tetapi di Malaysia, kita membina bangunan dengan kayu yang tidak tahan lama," katanya.

Namun, jelas beliau, pemuliharaan tetap dilakukan terhadap premis lama yang diiktiraf sebagai bangunan warisan agar reka bentuknya yang unik dapat dikekalkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment