Sunday, 4 May 2014

Artifak lebih 30 muzium dipamer di Shah Alam

KUANTAN, SABTU, 03 Mei, 2014: Pelbagai artifak dan koleksi daripada le­bih 30 muzium di seluruh negara akan dipamerkan kepada orang ramai di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Selangor selama empat hari sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa bermula 16 hingga 18 Mei ini.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Ibrahim Ismail berkata, program itu diadakan secara tahunan sempena sambutan berkenaan yang diadakan pada setiap 18 Mei di seluruh dunia.

Menurutnya, artifak dan koleksi dari muzium-muzium terbabit akan dipamerkan di situ bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri bahan-bahan sejarah yang dipamerkan.

"Kita jangka sebanyak 30,000 orang hadir pada pame­ran berkenaan. Sehubungan itu, beberapa program disusun bagi memeriahkan lagi sambutan," katanya dalam sidang akhbar di Muzium Sungai Lembing di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat beberapa muzium yang khusus seperti Muzium Tentera Darat, Muzium Tentera Udara, Muzium Telekom dan Muzium Nelayan juga akan menyertai pameran berkenaan.

"Penglibatan pihak muzium berkenaan memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat bahan sejarah anggota keselamatan yang bakal menjadi tarikan utama selain sejarah telekomunikasi serta kehidupan nelayan pada pameran itu nanti," ujarnya.

Katanya, tujuan diadakan program tersebut adalah untuk mendekatkan pengunjung dengan muzium yang menjadi pusat ilmu tentang sejarah di negara ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment