Sunday, 4 May 2014

Sempadan Malaysia-Thailand terkawal

Oleh AZHARI ZAINOODDIN

 * RAJA Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (depan tengah) bersama warga Tentera Darat menyertai aktiviti senamrobik sempena sambutan Hari Tentera Darat Ke-81 di Kem Tentera Sungai Ara, Pulau Pinang, semalam. - MINGGUAN/AZMAN ASMAYATIM
PULAU PINANG, SABTU, 03 Mei, 2014: Kawasan perbatasan sempadan antara Malaysia-Thailand sepanjang 749 kilometer (km) yang merangkumi sempadan Perlis, Kedah, Perak serta Kelantan masih terkawal dan selamat daripada sebarang aktiviti pencerobohan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, pihaknya sentiasa meletakkan kepentingan di kawasan perbatasan terbabit bagi memastikannya sentiasa selamat dan tidak mudah dibolosi.

"Kita sentiasa mengikuti dan memenuhi keperluan dalam menjaga kedaulatan negara khususnya di kawasan perbatasan.

"Malah ini merupakan janji Tentera Darat untuk memastikan perbatasan negara sentiasa terjamin dan untuk itu Panglima Medan sentiasa mengolah pendekatan-­pendekatan baharu bagi mengawal kawasan sempadan tanah air," katanya kepada pemberita selepas majlis senamrobik dan derma darah sempena sambutan Hari Tentera Darat Ke-81 di Kem Tentera Sungai Ara di sini hari ini.

Tambah Raja Mohamed Affandi, Tentera Darat juga bekerjasama dengan pa­sukan kawalan sempadan Thailand bagi memastikan aktiviti pencerobohan di perbatasan itu sentiasa dipantau.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau menyeru warganegara bukan Melayu untuk tampil menyertai pasukan Tentera Darat.

Katanya, pihak tentera sentiasa terbuka dan mengalu-alukan kehadiran semua rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit, etnik dan agama ke dalam pasukan tentera.

"Penyertaan kaum-kaum lain ke dalam pasukan Tentera Darat sekarang ini agak kurang memberangsangkan, jadi besar harapan saya sekiranya senario ini dapat diubah.

"Tugas mempertahankan negara bukan tergalas di bahu sesuatu kaum sahaja sebalik menjadi tanggungjawab bersama semua rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment