Friday, 2 May 2014

China sokong hasrat Melaka bangunkan pelabuhan

 * IDRIS Haron bersalaman dengan Zheng Bi Jian ketika lawatan singkat beliau ke China, Ahad lalu.
MELAKA, KHAMIS, 01 Mei, 2014: China menyatakan sokongan padu terhadap kerajaan negeri bagi membangun dan menambah baik aktiviti pelabuhan dalam usaha menjadikan Melaka kembali gah dalam sektor tersebut seperti yang pernah dilalui pada abad ke-14.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, sokongan itu dinyatakan hasil pertemuan dengan Pengerusi Institut Inovasi dan Strategi Pembangunan China, Zheng Bi Jian dalam lawatan singkat beliau ke negara berkenaan Ahad lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri menyambut baik cadangan tersebut dan bersedia melaksanakannya malah turut mempunyai tiga pelabuhan yang berpotensi untuk dibangunkan termasuk Pelabuhan Kuala Linggi, Pelabuhan Tanjung Beruas dan Pelabuhan Sungai Rambai.

"Melaka tidak menolak cadangan tersebut dan yakin ia akan mampu dilaksanakan namun beberapa perkara perlu dikaji serta diselidik terlebih dahulu.

"China juga dilihat berpotensi menjadi pasaran utama di mana kapal-kapal negara itu boleh berlabuh jika kita mempunyai pelabuhan cukup besar serta mampu menyediakan perkhidmatan diperlukan oleh mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini semalam.

Menurut Idris, China menyatakan sokongan dan keyakinan tersebut hasil kewibawaan Melaka yang pernah menjadi pelabuhan entrepot pertama di rantau ini pada abad ke-14.

Katanya, jika dapat direalisasikan kelak, Melaka pasti akan menjadi pilihan bagi kapal-kapal kecil mahupun besar untuk berlabuh serta mendapat perkhidmatan diperlukan.

"Sektor ini seterusnya akan menjadi sumber pendapatan baharu Melaka sekali gus dapat merealisasikan hasrat Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi pada masa depan," katanya.

Tambahnya, pertemuan singkat berkenaan turut membincangkan beberapa lagi perkara melibatkan Melaka dan China termasuklah kerangka perdagangan, pelancongan, ekonomi serta budaya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment