Friday, 2 May 2014

Kaji kesan TPPA agar tidak jejas pekerja - MTUC

PETALING JAYA, KHAMIS, 01 Mei, 2014: Kerajaan diminta mengkaji semula secara terperinci berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) supaya tidak menjejaskan golongan pekerja terutamanya mereka yang berada dalam sektor industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Khalid Atan berkata, persetujuan menandatangani perjanjian itu tanpa penelitian daripada segala aspek tentunya akan merosakkan nama baik negara yang dibina sejak puluhan tahun lalu.

Katanya, ini kerana, imej negara akan terjejas terutama apabila undang-undang yang ada pada masa kini dipinda untuk memberi kelonggaran kepada syarikat gergasi luar.

Beliau berkata, sekiranya perkara itu berlaku, secara tidak langsung akan memberi impak yang amat besar kepada pekerja sehingga membawa kepada kehilangan sumber pendapatan.

"Apabila perkara itu berlaku, segala usaha kerajaan seperti penetapan gaji minimum, isu keselamatan dan kesihatan pekerja hanya sia-sia. Segala dasar sebelum ini akan menjadi longgar demi memberi ruang kepada syarikat luar memasuki sektor ekonomi negara," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar berhubung tuntutan-tuntutan hak pekerja di padang Awam Dataran Petaling Jaya, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Khalid, buat masa ini TPPA yang dilaksanakan di beberapa negara menampakkan masalah dan memberi impak negatif yang membebankan rakyat terutama golongan pekerja sekali gus membuktikan terdapatnya percanggahan dalam polisi negara.

"Daripada beberapa kajian profesional, sekiranya TPPA ditandatangani akan timbul pelbagai masalah yang akhirnya membebankan negara dan rakyat.

"Kita tidak mahu Malaysia menjadi mangsa kerakusan Amerika Syarikat (AS). Kita juga tidak mahu akibat daripada perjanjian tersebut, negara akan berubah menjurus kepada sebuah negara yang mementingkan perniagaan," katanya.

Menurut beliau, TPPA akan menyebabkan penurunan tarif perniagaan sehingga boleh mencecah kosong bagi memastikan syarikat IKS bersaing untuk mendapatkan kontrak ataupun dalam meluaskan empayar perniagaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment