My Add

Saturday, 3 May 2014

Dua artifak sengaja dicicirkan atau tercicir?

MELAKA, JUMAAT, 02 Mei, 2014: Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, penemuan dua artifak berbentuk syiling lama semasa kerja-kerja mencari harta karun di Pulau Nangka, malam Rabu lalu dipercayai bukan dari kawasan tempat tersimpannya khazanah Kesultanan Melayu Melaka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit.

“Saya tidak begitu yakin dua objek berbentuk syiling lama yang ditemui itu datangnya dari kawasan tersebut (Pulau Nangka).

“Ada kemungkinan objek itu adalah sesuatu yang tercicir atau pun dicicirkan. Sehubungan itu, perkara ini akan disiasat dengan terperinci," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan program Ship For South East Asian Youth (SSEAYP) di Seri Bendahara, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas penemuan dua kepingan objek berbentuk syiling lama oleh pekerja syarikat Smart Partnership International (M) Sdn. Bhd. sewaktu menggerudi tembok dinding batu malam Rabu lalu iaitu 45 minit sebelum tamat tempoh kerja-kerja terakhir dilakukan di situ.

Artifak pertama ditemui kira-kira pukul 11.15 malam sebelum disusuli penemuan kedua 15 minit selepas itu.

Penemuan dua syiling tersebut menggemparkan orang ramai hingga ada pihak membuat andaian syiling lama itu memberi petunjuk baharu wujudnya harta karun di Pulau Nangka.

Malah ada yang menyebut dua objek tersebut dipercayai diperbuat daripada campuran emas dan tembaga datangnya dari zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Mengulas lanjut, Idris berkata, beliau telah mengarahkan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) yang memiliki Pulau Nangka untuk menyerahkan kedua-dua artifak yang ditemui itu kepada Jabatan Warisan Negara untuk dianalisis.

“Saya minta Jabatan Warisan Negara untuk mengkaji dua objek ini secara forensik bagi mengenal pasti bahan logam yang terkandung dalam dua objek itu sama ada emas atau saduran logam lain seperti tembaga, loyang atau sebagainya," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment