My Add

Saturday, 3 May 2014

klia2 selamat digunakan

Oleh HAKIMI ISMAIL
 
 * ABDUL Aziz Kaprawi (tengah) mengalungkan bunga kepada penumpang pertama mendaftar masuk, Camarintha Gemma dari Filipina dengan menaiki Cebu Pasific Airway ke Manila sambil diperhatikan oleh Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (kiri) di klia2, semalam.
SEPANG, JUMAAT, 02 Mei, 2014: Semua operasi pertama pendaratan dan pelepasan pesawat, termasuk sistem yang digunapakai di klia2 berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, perkara tersebut sekali gus membuktikan klia2 selamat digunakan oleh semua pihak.

Beliau berkata, dalam minggu pertama ini, sebanyak empat syarikat penerbangan beroperasi di klia2 iaitu Malindo Air, Cebu Pacific Airway, Lion Air dan Tiger Air.

“Bermula 9 Mei, syarikat penerbangan AirAsia mula beroperasi di klia2 seperti yang dipersetujui sebelum ini.

“Alhamdulillah proses pendaratan dan pelepasan pertama di klia2 berjalan lancar tanpa sebarang masalah, ini membuktikan terminal ini selamat digunakan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan operasi pertama klia2 di sini awal pagi ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Malaysia Airports Holding Bhd.(MAHB), Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharudin Abdul Rahman.

Operasi pertama di klia2 menyaksikan pesawat Malindo Air 0D1027 dari Kota Kinabalu, Sabah menjadi yang pertama mendarat di terminal berkenaan kira-kira pukul 12.05 tengah malam tadi.

Sementara itu, pesawat Cebu Pacific Airway 5J502 perjalanan ke Manila, Filipina menjadi pesawat pertama yang berlepas dari klia2 kira-kira pukul 3.15 pagi ini.

Seramai 110 penumpang tiba dengan penerbangan Malindo Air di Gate K2 manakala 147 penumpang berlepas dengan penerbangan Cebu Pacific Airway di Gate K4.

Menurut Abdul Aziz, operasi pertama klia2 menjadi sejarah kerana terminal berkenaan kini menjadi satu lagi mercu tanda baharu negara.

“Kami telah membuktikan semua operasi di klia2 berjalan mengikut jadual seperti diumumkan sebelum ini. Kami bangga terminal ini menjadi ikon baharu negara," katanya.

Selain itu, katanya, kos pembinaan klia2 adalah dalam lingkungan RM4 bilion sebagaimana yang diperuntukkan sebelum ini dan 22 juta penumpang dijangka menggunakan terminal itu tahun ini.

Sementara itu, kata Abdul Aziz, kerajaan juga optimis lebih banyak syarikat penerbangan akan membuka operasi masing-masing di klia2 pada masa hadapan dan kerajaan tidak meletakkan had jumlah syarikat yang ingin beroperasi di terminal berkenaan.

“Pada peringkat permulaan operasi, sejumlah 7,000 penumpang akan menggunakan klia2 setiap hari dan dijangka mencecah 50,000 penumpang selepas 9 Mei ini," katanya.

Dalam pada itu, MAHB dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) akan menghentikan operasinya selepas 9 Mei namun bagi keselesaan penumpang, perkhidmatan bas ulang-alik antara klia2 dan LCCT disediakan secara percuma mulai semalam hingga 15 Mei ini dengan kekerapan perjalanan setiap 15 hingga 20 minit.

“Kaunter imigresen, keselamatan dan kastam di LCCT akan meneruskan perkhidmatan masing-masing sehingga 9 Mei ini dan penumpang dinasihatkan supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mengesahkan butiran penerbangan bagi mengelak sebarang kesulitan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment