Friday, 2 May 2014

Jangan takut hudud tanpa sebab

KOTA BHARU, KHAMIS, 01 Mei, 2014: Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) meminta semua pihak terutama masyarakat bukan Islam supaya tidak takut dengan hukum hudud yang mahu dilaksanakan Kerajaan Pas Kelantan.

Naib Ketua DHPP Pusat, Vincent Lee berkata, orang bukan Islam yang membantah pelaksanaan hukum hudud sebenarnya tidak mempunyai sebab kukuh untuk berbuat demikian memandangkan mereka tidak tertakluk kepada undang-undang tersebut.

Namun katanya, jika masih keliru dan ingin memahami hukum hudud dengan lebih mendalam, golongan tersebut dinasihatkan meluangkan masa mendengar penjelasan yang dibuat oleh Pas dari semasa ke semasa.

"Mereka yang membantah ini, jangan sekadar membantah. Mereka perlu berikan sebab yang munasabah. Kalau takut, beritahu apa yang anda takut dengan jelas.

"Masalah sekarang semua bantah, tetapi mereka ini tidak dapat beri sebab yang jelas kenapa bantah atau apa persoalan yang mereka mahu Pas jawab. Selagi tidak tahu apa persoalan itu, macam mana nak jawab dengan tepat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Vincent dalam pada itu menegaskan, DHPP secara rasmi menyokong penuh usaha Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud malah pihaknya sedia membantu melancarkan proses penerangan kepada masyarakat bukan Islam.

Katanya, asas yang membuatkan pihaknya menyokong hudud adalah kerana DHPP yang berkembang daripada Kelab Penyokong Pas sejak 2004 sudah pun memahami secara mendalam perjuangan utama parti itu termasuk perkara berkaitan hudud.

"Asas kedua adalah perkataan ‘hukuman’. Baik orang Islam atau bukan Islam, hudud adalah satu bentuk hukuman untuk mereka yang bersalah. Kalau ada yang buat salah atau berniat untuk melakukan kesalahan, mereka patut takut," katanya.

Mengenai tindakan Ketua DHPP Pusat, Hu Pang Chaw yang baru-baru ini dilaporkan membantah pelaksanaan hudud, Vincent menegaskan, kenyataan Pang Chaw itu bukan suara rasmi sayap bukan Islam dalam Pas sebaliknya pandangan peribadi beliau.

"Kenyataan Pang Chaw bahawa DHPP membantah hudud tidak betul, itu pandangan peribadi beliau yang sudah lebih daripada setahun tidak memanggil kami untuk bermesyuarat," katanya.

Beliau turut menyelar sikap segelintir pemimpin parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang mengeluarkan kenyataan membantah hudud serta mempertikai undang-undang tersebut tanpa mengetahui fakta sebenar.

"Kami menyeru pemimpin tidak kira parti politik mana atau NGO, sebelum memberi pandangan, lawatlah Kelantan dan dapatkan penjelasan yang tepat dari mana-mana Ahli Jawatankuasa Teknikal Hudud yang diketuai Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment