Saturday, 3 May 2014

Mohd. Afiq masuk hospital

Oleh AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF
 
 * MOHD. Afiq Iqmal Muhammad Zaini dimasukkan ke Hospital Selayang setelah kulitnya bertukar kekuningan.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Mei, 2014: Selepas 15 tahun menjalani pembedahan pemindahan hati yang didermakan oleh seorang individu yang tidak mempunyai ikatan persaudaraan, Mohd. Afiq Iqmal Muhammad Zaini kini terlantar di Hospital Selayang di sini, dipercayai menghadapi masalah berkaitan organ tersebut.

Mohd. Afiq Iqmal yang kini berusia 16 tahun dimasukkan ke wad pada Mac lalu kerana keadaan kulitnya bertukar kekuningan.

Menurut bapanya, Muhammad Zaini Derahim, 42, keadaan itu dikesan selepas mereka pulang daripada menunaikan umrah pada Februari lalu.

“Sejak pulang daripada mengerjakan umrah, Mohd. Afiq dilihat kerap tidur, kurang selera makan dan kurang aktif bersukan seperti biasa," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Muhammad Zaini, selepas beberapa minggu, keadaan anak sulungnya itu semakin lemah sehingga sukar berjalan dan mula mengadu sakit perut serta kulitnya bertukar kekuningan.

Katanya, remaja itu dirujuk ke klinik berhampiran rumah dan doktor menasihatkan supaya dia dibawa ke hospital.

“Sejak Mac lalu, Mohd. Afiq sudah beberapa kali keluar masuk hospital dan sehingga kini, doktor masih mencari punca sebenar penyakitnya," katanya.

Menurut Muhammad Zaini, anaknya tidak pernah mengalami apa-apa masalah selepas menjalani pembedahan pemindahan hati pada 1999 dan dia risau dengan keadaan yang menimpa Mohd. Afiq ketika ini.

Kisah penderitaan Mohd. Afiq yang mengalami masalah hati ketika berusia 14 bulan menarik simpati rakyat Malaysia sehingga mendorong seorang pemuda, Wan Mohd. Hafizam Wan Ismail yang ketika itu berusia 23 tahun mendermakan sebahagian hatinya.

Pembedahan yang dilakukan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) itu memakan masa hampir sembilan jam.

Ini merupakan pembedahan pemindahan hati yang pertama kali dilakukan di Malaysia, melibatkan bukan keluarga.

Tambah Muhammad Zaini, beliau berharap pihak hospital melakukan yang terbaik dalam merawat anaknya itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment