RTM, Utusan Malaysia wujud jawatankuasa kerjasama
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Mei, 2014: Satu jawatankuasa bagi menyelaraskan kerjasama antara RTM dengan Utusan Malaysia dalam industri media termasuk mempromosikan pelbagai aktiviti kedua-dua organisasi bakal diwujudkan dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Norhyati Ismail berkata, kerjasama antara RTM dengan Utusan Malaysia itu juga akan memperkukuh lagi hubungan antara kedua-dua media terbesar di Malaysia itu pada masa depan.
Jawatankuasa ini akan mula bermesyuarat pada hujung bulan ini. Kita akan melihat apa aspek yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi.
Ini termasuk dalam menjayakan pelbagai program anjuran RTM yang Utusan Malaysia boleh menjadi rakan media cetak untuk membantu mempromosi program itu secara lebih meluas. Ini termasuklah program akan datang iaitu Tribute P. Ramlee dan Piala Dunia FIFA," katanya ketika mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad. di Jalan Chan Sow Lin, di sini hari ini.
Pada lawatan itu, RTM turut diwakili Timbalan Pengarah Seksyen Produksi Televisyen, Norliza Ali; Pengarah Pemasaran dan Promosi, Mohd. Roffee Mohamad dan Pengarah Berita Ehwal Semasa, Wan Bukhari Wan Daud.
Sementara itu, Utusan Malaysia diwakili Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Othman Mohamad; Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor dan Pengurus Jabatan Pengarang, Syed Agil Syed Jaafar.
Norhyati berkata, jawatankuasa itu akan turut membincangkan kerjasama yang boleh dijalin antara RTM dengan Utusan Malaysia termasuk peranan yang boleh dimainkan akhbar itu dalam usaha RTM mewujudkan satu lagi saluran televisyen dengan kandungan berita sepenuhnya pada tahun depan.
Pada lawatan itu, Norhyati dan wakil RTM turut meninjau operasi Jabatan Pengarang Utusan Malaysia. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment