My Add

Sunday, 4 May 2014

Penjelajah ekspedisi Greenland dalam keadaan baik walaupun kepenatan

Oleh MOHD. AZRAIE MD. YUSOF
 
 * PESERTA Ekspedisi KE7B Felda Greenland 2014 ketika menjalani latihan di Reykjavic, Iceland, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Mei, 2014: Lapan penjelajah Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7b) Felda Greenland 2014 yang kini telah menjelajah sejauh 40 kilometer dari tapak permulaan, Hahn Glacier, Greenland sejak lima hari lalu masing-masing dilaporkan berada dalam keadaan baik.

Perunding ekspedisi, Adventure Consultant bagaimanapun berkata, wira-wira harapan negara itu sedikit kepenatan ekoran perjalanan panjang yang ditempuh setiap hari sambil menarik sledge iaitu alat yang membawa barangan untuk kegunaan ekspedisi seberat kira-kira 60 kilogram.

"Perancangan kami selepas ini adalah memperlahankan pergerakan bagi memberi mereka ruang untuk berehat dan mengembalikan semula tenaga yang telah digunakan," katanya menerusi kenyataan kepada KE7B di sini semalam.

Perkembangan ekspedisi dilaporkan oleh Ketua Jurupandu Arah, Maxime Poncet kepada perunding ekspedisi sebelum disampaikan kepada pihak KE7B dalam dua atau tiga hari sekali.

Penjelajah memulakan ekspedisi pada 28 April lalu, tersasar dua hari daripada jadual asal berikutan penerbangan menaiki helikopter dari Tasiilaq ke Hahn Glacier ditunda kerana cuaca buruk di sana.

Ekspedisi sulung negara itu dibarisi oleh Muhamad Shaiful Hisyam Abd. Aziz, 25; Yanizam Mohamad Supiah, 29; Abdul Rahman Abu Hassan, 31; Tahira Naj­munisaa Muhammad Zaid, 25; Mohd. Akasyah Jamaludin, 25; Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, 34; Muhammad Musaddiq Samsudin, 25, dan Muhd. Hafizuddin Abdul Muthalib, 25.

Misi penjelajah di Greenland membabitkan perjalanan merentasi pulau terbesar di dunia itu yang 80 peratus permukaannya diliputi ais dengan berjalan kaki dan menggunakan ski sambil meng­heret sledge sejauh 540 kilometer selama lebih kurang 35 hari.

Jika berjaya disempurnakan, ekspedisi yang mendapat penajaan daripada Felda selaku penaja utama, kerajaan negeri Kedah dan RHB Bank bakal memahat sejarah sebagai kumpulan pertama dari Asia Tenggara menjelajah Greenland. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment