Kedah Organic sedia bantu petani kecil secara serius - Mukhriz
KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Mei, 2014: Kerajaan Negeri Kedah menerusi Kedah Organic bersedia membantu petani-petani kecil meraih pendapatan lumayan sekiranya mereka memilih untuk melibatkan diri secara serius dalam industri pertanian berteraskan organik.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Kedah Organic yang merupakan syarikat milik kerajaan negeri memberi jaminan untuk membantu dalam penyediaan tanah, teknologi, kaedah tanaman sehingga kepada penjenamaan dan pemasaran.
"Oleh kerana itu, kita galakkan petani-petani kecil mengambil langkah berkongsi tanah dengan petani-petani lain untuk melaksanakan tanaman organik. Hasilnya amat berbaloi. Kita akan bimbing mereka daripada awal sehingga berjaya membuat pasaran.
"Perniagaan organik berbeza dengan perniagaan pertanian bukan organic. Organic dihasilkan menerusi permintaan dan kita tidak mahu berlaku longgokan dalam perniagaan organik kerana teknologi organik melibatkan kos yang agak tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan produk Kedah Organic dekat sini hari ini.
Mukhriz berkata, setakat ini, hanya satu syarikat di Kedah yang menghasilkan tanaman organik secara besar-besaran iaitu MK Orchard bertempat di Kampung Padang Asun di Jitra.
Menurutnya, MK Orchard ketika ini memiliki tanah seluas 60 hektar dengan lebih 20,000 tanaman daripada lebih 33 jenis pokok buah-buahan dan dijangka keluasan tanaman itu akan diperluaskan kepada 121 hektar ekoran terdapat petani di kawasan berdekatan bersedia berkongsi tanaman.
"Bagi mereka yang mempunyai kawasan tanaman padi juga boleh digunakan untuk tanaman produk organic. Kita berbesar hati untuk membantu petani-petani kecil meningkatkan taraf hidup," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment