Friday, 2 May 2014

PKNS digesa jaga kepentingan peniaga Melayu

SHAH ALAM, KHAMIS, 01 Mei, 2014: Kepentingan peniaga Melayu di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) seharusnya dijaga kerana tujuan utama penubuhannya adalah untuk membantu meningkatkan ekonomi bumiputera.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, kemasukan peniaga kaum lain dan warga asing di premis itu akan menghakis kelebihan sedia ada peniaga Melayu di kompleks tersebut.

Katanya, kesemua peniaga perlu bersatu untuk membela diri agar periuk nasi mereka dijaga dengan sebaik-baiknya.

"Peniaga yang menjalankan perniagaan di kompleks PKNS kebanyakannya adalah peniaga kecil.

"Kita tidak mahu kemasukan peniaga kaum lain akan memberi tekanan kepada mereka terutama daripada segi kenaikan harga sewa dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, tinjauan di kompleks berkenaan mendapati beberapa ruang yang sebelum ini dibiarkan kosong sudah diduduki termasuk restoran-restoran besar yang dimiliki oleh bukan Melayu dan warga asing.

Kehadiran golongan tersebut mula ketara selepas pengurusan premis berkenaan diambil alih oleh anak syarikat PKNS, Private Real Estate Company (PREC) pada awal tahun ini.

Sebelum ini, kawasan terbabit disewakan secara sementara kepada peniaga-peniaga kecil Melayu terutama ketika menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Dalam pada itu, Pengurus Besar PREC, Fakru Radzi Ab. Ghani menafikan nasib peniaga tersebut dipinggirkan kerana hubungan baik antara mereka dan pengurusan telah terjalin sejak dahulu lagi.

"Saya berasa isu sedemikian tidak timbul kerana setakat ini tidak ada laporan yang dibuat berkaitan peniaga asing mendapat tempat untuk menjalankan perniagaan di dalam Kompleks PKNS," katanya.

Katanya, peluang untuk menjalankan perniagaan di kompleks itu terbuka kepada semua usahawan tanpa mengira kaum.

"Kita juga telah bekerjasama dengan peniaga untuk mempromosikan Kompleks PKNS," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment