Friday, 2 May 2014

Teliti semula peraturan baharu BB1M

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Mei, 2014: Kerajaan diminta mengkaji semula keputusan tidak membenarkan pelajar menggunakan baki Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bernilai RM250 untuk membeli barangan selain daripada bahan bacaan yang berkuat kuasa esok.

Exco Pengurusan Dalaman Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Afnas Syahmir berkata, pelaksanaan peraturan yang mewajibkan pembelian buku akademik sahaja akan membebankan pelajar kerana ada yang menggunakannya untuk pembelian kelengkapan pembelajaran.

"Penggunaan baucar buku ini bergantung kepada keperluan, contohnya ramai pelajar jurusan seni lukis dan seni menggunakan sebahagian daripada baucar buku untuk membeli peralatan pembelajaran sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, penebusan BB1M hanya dibenarkan untuk pembelian buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah yang berdasarkan keperluan institusi pengajian masing-masing.

Mana-mana pemilik kedai buku yang didapati bersalah menyalahgunakan BB1M akan disenarai hitam dan tidak dibenarkan menyertai program baucar tersebut selama tiga tahun.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Abdul Hakim Wan Mohd. Nor berkata, keputusan kerajaan itu akan membebankan keluarga pelajar tersebut.

Katanya, ekoran tiada kemudahan seperti itu, pelajar terpaksa meminta bantuan kewangan daripada ibu bapa atau penjaga mereka.

"Bagaimanapun setiap keputusan kerajaan yang bakal dilaksanakan itu perlulah dilihat dari segala aspek.

"Dalam peraturan baharu BB1M, kesan positifnya ialah dapat memupuk minat membaca dalam kala­ngan pelajar dan yang negatifnya, mereka rasa terbeban dengan perkara ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment