Thursday, 1 May 2014

PKR hanya pandai cakap kosong - Khairy

PUTRAJAYA 30 April- Kecelaruan dalam proses pengundian bagi pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan bahawa pemimpin parti berkenaan hanya pandai bercakap kosong sahaja.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, jika PKR sebuah parti yang telus semestinya perkara-perkara berbangkit tidak akan timbul semasa mereka melaksanakan proses pemilihan.

Beliau berkata, semasa proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) parti berkenaan mendakwa kerajaan tidak telus termasuk mempertikaikan kualiti dakwat kekal dan juga memainkan isu blackout.

“Sekarang kita tengok segala tuduhan dan dakwaan terpalit kepada pemilihan parti mereka sendiri yang dikatakan banyak masalah yang timbul termasuk isu blackout dan penipuan.

“Bagi saya, segala dakwaan PKR terpalit kepada mereka sendiri, perkara ini jelas membuktikan mereka hanya pandai cakap kosong dan membuat dakwaan semasa PRU-13 untuk kepentingan tertentu semata-mata," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan dalam media-media sosial mengenai pemilihan PKR yang dilakukan secara tidak telus termasuk isu blackout.

Menurut Khairy, beliau melihat masalah pengundian bagi pemilihan pemimpin PKR memberi gambaran bahawa pemimpin parti berkenaan cakap tidak serupa bikin.

“Mereka hanya pandai bercakap sahaja, apa yang mereka minta dan ingin dilaksanakan semasa PRU-13 langsung tidak diguna pakai, malah sekarang dipalit pula dengan isu penipuan dan blackout," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment