Friday, 2 May 2014

Satelit 3b baharu MEASAT dilancarkan 29 Mei

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Mei, 2014: MEASAT Global Bhd. (MEASAT) mengumumkan satelit MEASAT-3b baharunya disahkan akan dilancarkan di European Spaceport di Kourou, French Guiana 29 Mei ini.

Dalam satu kenyataan di sini, MEASAT berkata, satelit itu dibangunkan untuk menyediakan transponder tambahan dikuasakan 48 Ku-gelombang yang berfungsi untuk meluaskan perkhidmatan Terus-Ke-Rumah dan Terminal Apertur-Sangat-Kecil di seluruh Malaysia, India, Indonesia dan Australia pada slot orbit 91.5 Timur.

Satelit baharu itu akan menambah sekali ganda Ku-gelombang MEASAT pada lokasi orbit ini dan mewujudkan satu daripada lokasi orbit paling berkuasa dan lasak di rantau ini.

"Satelit itu akan dilancarkan di pusat pelancaran Ariane 5 ECA dan diletakkan di lokasi sama MEASAT-3 dan MEASAT-3a," kata MEASAT.

MEASAT ialah pembekal utama perkhidmatan komunikasi satelit utama kepada badan penyiaran antarabangsa, platform Terus-Ke-Rumah dan operator telekom.

Syarikat itu memberi perkhidmatan kepada lebih 150 negara di Asia, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Australia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment