Syria bakal muncul negara gagal
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Mei, 2014: Rakyat di negara ini perlu mengambil iktibar daripada malapetaka yang berlaku di Asia Barat terutamanya di Syria yang bakal menjadi sebuah negara yang gagal kerana hilang satu generasi akibat keciciran pendidikan.
Pengerusi Aqsa Syarif, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor (gambar) berkata, selain bersatu bagi membantu umat Islam yang ditindas Zionis di Palestin dan kesengsaraan rakyat Syria, rakyat di negara ini juga perlu menginsafi malapetaka tersebut agar Malaysia kekal aman.
"Syria kini menuju sebuah negara yang gagal kerana hilang satu generasi akibat perang. Generasi ini tercicir daripada mendapat sistem pendidikan sempurna. Tetapi sebagai muslim, kita wajib membantu saudara, selain mengambil pengajaran.
"Begitu juga nasib umat Islam di Palestin yang dizalimi Zionis tetapi kita menyambut baik usaha kerajaan perpaduan antara Hamas dan Fatah," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Persidangan Forum Antarabangsa Palestin dan Baitulmaqdis di sini malam semalam.
Persidangan tersebut bakal menghimpunkan sehingga 200 perwakilan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada lebih 20 negara bagi mencari jalan menangani krisis kemanusiaan di Palestin serta membebaskan Masjidil Aqsa.
Terdahulu, dalam sidang akhbarnya Hafidzi berkata, pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah persidangan kali ini merupakan satu penghormatan masyarakat dunia terhadap usaha kerajaan serta rakyat negara ini yang tidak pernah jemu membantu Palestin.
Tambahnya, persidangan tersebut juga akan dihadiri tokoh gerakan Islam, antaranya Ketua Perhubungan Antarabangsa Hamas, Usama Hamdan; bekas Menteri Penerangan Mesir, Solah Abu Maqsoud dan Ketua Umum Ikhwanul Muslimun Syria, Sheikh Muhd. Riadh Shaqfeh. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment