Wednesday, 1 May 2013

Kerajaan PKR Selangor tiada moral

Oleh HELMI MOHD. FOAD 

 Mohd. Zin Mohamed
SHAH ALAM, SELASA, 30 April, 2013: Kerajaan sementara Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dipersoalkan kerana didakwa menjalankan urus niaga penjualan tanah yang diperuntukkan untuk projek tebatan banjir kepada sebuah syarikat swasta selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 4 April lalu.

Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed mendedahkan, berdasarkan maklumat, satu urus niaga penjualan tanah 'Canal City' telah berlaku antara anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Negeri Selangor Bhd. (PNSB), dan syarikat pemaju, Dijaya Corporation Berhad.

Beliau mendakwa, urus niaga berkenaan dikesan berlaku pada 15 April iaitu selepas DUN Selangor dibubarkan meskipun pada awalnya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim cuba menafikan urus niaga tersebut dengan menyatakan perkara itu masih dalam peringkat semakan.

"Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Datuk Ahmad Omar mengesahkan berlakunya urus niaga penjualan tanah di Canal City kepada Dijaya.

"Persoalannya, kenapakah urusniaga ini dilaksanakan dengan tergesa-gesa dan kenapa kerajaan negeri tidak menunggu sehingga pilihan raya umum selesai," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada Februari 2011, Abdul Khalid dilapor telah membatalkan projek tebatan banjir, Canal City yang telah dimulakan pada 2007 melibatkan tanah seluas 1,960 hektar.

Projek tebatan banjir melibatkan pembinaan terowong sepanjang 18 kilometer menghubungkan Sungai Klang dan Sungai Langat dan alasan pembatalannya kerana projek tersebut dikatakan tidak memberikan manfaat kepada rakyat Selangor.

Mohd. Zin yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor berkata, penjualan tanah tersebut dilakukan dengan cara yang meragukan iaitu apabila tapak tanah tersebut hanya dijual dengan harga RM25 sekaki persegi dalam tempoh 20 tahun.

"Ini adalah meragukan kerana kedudukan tanah strategik di Canal City yang berhampiran Cyberjaya, Kota Kemuning dan Puchong rata-ratanya berharga lebih RM100 sekaki persegi mengikut harga semasa.

"Sebagai caretaker goverment, adakah tindakan kerajaan negeri menjual tanah secara tergesa-tergesa kepada pihak lain merupakan satu tindakan bermoral?" katanya.

Mohd. Zin sebaliknya berkata, tindakan PNSB menjual tanah yang sepatutnya diperuntukkan untuk membina tebatan air di Selangor dilihat merupakan keputusan yang membelakangkan kepentingan rakyat.

Serentak itu, beliau mendesak Abdul Khalid memberikan penjelasan kerana dikhuatiri ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

"Hakikatnya, kawasan Lembah Klang terutamanya di Selangor sering diancam banjir kilat malah pada tahun lepas sahaja sehingga baru-baru ini rakyat Selangor terpaksa menghadapi banjir kilat dalam skala besar termasuk di Kajang, Klang dan Puchong.

"Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa keperluan untuk projek tebatan banjir adalah masih wujud walaupun perkara itu dinafikan oleh Abdul Khalid," katanya.

Mohd. Zin berkata, PNSB yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor dan dimiliki oleh Menteri Besar Diperbadankan juga tidak mampu memberikan penjelasan berhubung tender penjualan tanah itu.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan terdapat syarikat lain seperti SP Setia dan Mah Sing Group turut membida tanah tersebut dengan harga tinggi namun telah dimenangi oleh Dijaya.

"Persoalan kenapa penjualan dilakukan ketika DUN sudah dibubarkan? Kenapa buat tergesa-gesa" Kenapa projek tebatan banjir dibatalkan dan bagaimana pemilihan Dijaya dilaksanakan perlu dijawab demi kepentingan rakyat?" katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment