Wednesday, 1 May 2013

56 penyokong Pas Ayer Hitam sertai UMNO

JERLUN, SELASA, 30 April, 2013: Pas Kedah khususnya di kawasan Parlimen ini menerima tamparan hebat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) , Ahad ini apabila seramai 56 ahli dan penyokongnya di Kampung Permatang Bonglai dan Kampung Matang Kong Bawah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam di sini menyertai UMNO.

Mereka bertindak demikian kerana kembali yakin hanya UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang benar-benar ikhlas membela rakyat sedangkan pembangkang sekadar pandai menabur janji tetapi kebajikan masyarakat diabaikan.

Kumpulan itu menyerahkan borang permohonan keahlian menyertai parti berkenaan kepada Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mukhriz Mahathir di Kampung Matang Kong Bawah hari ini.

Wakil kumpulan berkenaan, Wan Azmi Wan Tahir, 46, berkata, mereka memilih menyertai UMNO kerana menyedari hanya parti itu yang sentiasa konsisten menjaga kebajikan rakyat meskipun negeri ini berada di bawah pentadbiran pembangkang.

“Banyak masalah di kawasan ini yang diajukan kepada wakil pembangkang tetapi tindakan dilakukan adalah perlahan.

“Malahan kami dapat melihat betapa kurangnya pembangunan yang mampu dibawa pembangkang sepanjang tempoh lima tahun lalu tetapi BN pula tampil kehadapan menghulurkan bantuan," katanya di sini hari ini.

Seorang penyokong Pas selama 40 tahun, Fatimah Man, 54, berkata, dia kembali menyokong BN sejak tiga tahun lalu tetapi hari ini wanita tersebut menzahirkan sokongannya itu dengan menjadi ahli UMNO.

Katanya, meskipun sebelum ini dia menyokong Pas namun kerajaan BN tidak memandang kepada politik apabila tetap membantunya seperti mendapatkan mesin membuat laksa bagi memajukan perniagaannya.

Sementara itu, Mukhriz yang juga calon BN bagi kerusi DUN Ayer Hitam berkata, penyertaan ahli dan penyokong Pas yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda ke dalam UMNO itu merupakan satu trend yang berlaku di seluruh Kedah pada masa ini.

“Ini menunjukkan mereka berpuas hati dengan prestasi kerja BN dan pada masa sama kecewa dengan kegagalan Pas menerusi wakil rakyat mereka dalam membela nasib rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment