Wednesday, 1 May 2013

Norman 'bunuh' diri sendiri

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

KUALA TERENGGANU, SELASA, 30 April, 2013: Dewan Ulama Pas mengingatkan risiko yang menanti semua ahli DAP termasuk Timbalan Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez kerana tiada undi yang lebih besar diperoleh pakatan pembangkang kecuali melalui penyokong Pas.

Ketuanya, Datuk Harun Taib menegaskan, kenyataan yang dibuat Norman itu hanya 'membunuh' diri sendiri dan risiko menghilangkan sokongan kepadanya, sedangkan penyokong Pas sebelum ini tidak berbelah bahagi menyokong DAP.

Pun begitu, beliau berharap penyokong akan terus berkempen untuk pakatan pembangkang termasuk DAP walau apa pun berlaku kerana berpegang pada janji bersama pakatan itu.

"Tindakan Norman itu tidak membunuh Pas di Johor tetapi memberi lebih banyak undi kepada Pas. Kenyataan itu akan membunuh dirinya kerana dia tidak akan dapat sokongan orang Islam di sana, dia rosakkan diri dia sendiri.

"Kita tak mahu cakap besar tetapi kalau DAP tak dapat undi orang Islam, jangan marah sebab dia yang buat kenyataan seperti itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Norman dalam sebuah blog yang mengingatkan pengundi bukan Islam agar menolak Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.

Norman dipetik berkata, tindakan itu perlu memandangkan Pas dilihat tidak konsisten dalam pendiriannya melaksanakan hukum hudud dan parti itu juga gagal menterjemah semangat 'rakan kongsi' yang sebenar dalam pakatan pembangkang.

Kenyataan Norman itu dipetik dalam artikelnya yang disiarkan menerusi blog OutSyed The Box, http://syedsoutsidethebox.blogspot. com, yang diterbitkan 27 April lalu.

Semalam, Harun juga telah membuat kenyataan dengan mendakwa tindakan pemimpin DAP itu juga bakal merugikan pembangkang dalam PRU-13 khususnya DAP.

Harun juga menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti DAP untuk menyelesaikan 'masalah' yang ditimbulkan oleh Norman.

"Biarlah parti itu (DAP) buat keputusan, apa yang penting kita (orang Pas) tidak akan buat seperti apa Norman buat kerana kita orang Islam, pegang kepada janji," jelasnya.

Mengenai kenyataan bersama yang dikeluarkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung desakan Norman itu, Harun mengakui, beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.

"Saya tak tahu pasal kenyataan itu secara terperinci, tetapi berkenaan perkongsian 95 peratus dasar perjuangan yang sama iaitu menegakkan kebebasan dan keadilan itu memang benarlah.

"Memang ada perbezaan sikit-sikit itu biasalah. Kita akan selesaikan nanti tidak kiralah berkaitan isu apa pun," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment