Wednesday, 1 May 2013

'Anwar tak layak jadi pemimpin'

Oleh SHARAIMEI SHAIIK AHMEDULLAH

PUTRAJAYA, SELASA, 30 April, 2013: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkata, masalah besar yang tidak melayakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin adalah kerana beliau 'mempunyai penyakit' dan perlu dihantar ke hospital untuk berubat.

"La (sekarang) ini masalah besar dia ada sedikit penyakit. Orang berpenyakit hantar pi hospital berubat, tak boleh jadi pemimpin," kata Daim ketika berucap di hadapan lebih 2,000 hadirin pada Ceramah Umum Barisan Nasional (BN) di Puncak Puteri Presint 8 di sini malam tadi.

Hadir sama calon BN Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut Daim, Anwar juga seorang yang kuat menipu dan tidak boleh dipercayai dari dulu hingga sekarang, justeru jika beliau menjadi perdana menteri, nescaya negara akan hancur.

Menurut Daim, penipuan Anwar bermula sejak beliau menyertai UMNO sehingga sanggup menentang bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Ghafar Baba (Allahyarham) pada tahun 1993.

Katanya, sikap buruk Anwar itu kemudiannya terbawa-bawa sehingga bekas Timbalan Perdana Menteri itu memimpin tiga parti pembangkang yang masing-masing berbeza ideologi.

"Dr. Mahathir sayang dia Tuhan saja tahu. Masuk UMNO semua orang tak mahu tapi Dr. Mahathir panggil saya dan Megat (bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob) untuk sokong Anwar sebab Dr. Mahathir kata dia baik.

"Kita pun sokong ingat dia baik, tapi masa di luar (sebelum masuk UMNO) Anwar pijak bendera UMNO tapi Dr. Mahathir sayang dia kata tak apa masuk.

"Bagi masuk, dia lawan Suhaimi (bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Suhaimi Kamaruddin) lepas itu nak jadi Menteri Kewangan, saya yang recommend lepas tu dia bantai (hentam) saya pula, ini cara Anwar," katanya.

Kata Daim, Anwar juga tidak layak memegang jawatan penting itu dan selalu meminta nasihatnya setiap masa.

"Dulu tiap-tiap petang dia datang rumah saya bawa fail. Jumpa saya minta tolong. Aku (Anwar) tak tau ni. Lepas pandai sikit dia mula tuduh saya nak kontrak itu dan ini padahal masa itu saya dah berhenti dan belajar di universiti di Amerika.

"Tapi tiap-tiap malam dia telefon saya suruh balik tolong dia. Aku (Anwar) tak tau masalah ni macam mana nak selesai. Saya kata kepada dia hang duduk diam-diam, apa Dr. Mahathir suruh hang buat, jangan kacau," katanya.

Dalam pada itu, Daim berkata, pemimpin pembangkang lain juga sudah tahu sifat dan perangai pelik Anwar tetapi atas kepentingan politik semua pihak hanya memejamkan mata.

"DAP dan Karpal Singh (Pengerusi DAP) ini tak percaya dengan dia (sebab) sebelum tu Karpal pernah jadi peguam Azizan (bekas pemandu Anwar, Azizan Abu Bakar), Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) pun tak mahu dengan dia. Bukan dia tak tau (malah) Haron Din (Timbalan Mursyidul Pas) yang dulu penasihat dia pun tahu kelakuan Anwar.

"Yang taat setia cuma Wan Azizah. Kalau isteri lari sudah lama orang tahu cerita, kenapa kita tahu? Sebab dia pernah tulis surat pada Dr. Mahathir. Anwar pun pernah tulis surat pada saya kita tahu semua masalah Anwar, dia boleh nafikan tapi kita takkan tunjuk surat tu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment