My Add

Wednesday, 1 May 2013

PRU-13: Jangan kufuri nikmat Allah - Sakaran

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

LAHAD DATU, SELASA, 30 April, 2013: Bekas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai menasihatkan umat Islam di negara ini supaya menghayati ayat ke-7, Surah Ibrahim bagi membuat penilaian secara rasional mengenai parti yang selayaknya diberikan mandat memimpin negara pada 5 Mei ini.

Katanya, tafsiran ayat tersebut yang bermaksud, Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih, diharap mampu membangkitkan kesedaran betapa rakyat negara ini telah menerima pelbagai kemudahan dan manfaat berbanding negara-negara jiran.

"Hayati maksud ayat ini dan lihat kembali apa yang telah kita capai berbanding negara lain yang sama-sama merdeka dengan Malaysia.

Bandingkan bagaimana taraf hidup kita dan keadaan mereka sehinggakan negara ini sentiasa menjadi contoh atau model pembangunan negara lain.

"Apakah semua yang ada di depan mata ini hanya untuk dilihat dan bukan untuk disyukuri? Disebabkan itu, buatlah perbandingan dengan bijak pada 5 Mei ini dan janganlah sentiasa tamak kerana Allah berjanji manusia yang bersyukur akan ditambahkan nikmat kepadanya," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bertemu Rakyat di Dewan Perdana, Bandar Perdana di sini semalam yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Sakaran yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan pernah menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah menambah, generasi muda hari ini juga tidak seharusnya melupakan sejarah bagaimana kehidupan datuk dan nenek mereka sebelum merdeka yang penuh dengan penderitaan.

"Mereka mungkin tidak rasa apa yang saya rasa dahulu. Bagi individu seperti saya yang sudah pun berusia 84 tahun, perbezaannya terlalu besar. Dahulu, anak-anak kecil tidak ramai yang mampu ke sekolah dengan kebanyakannya perlu bekerja bagi menampung keluarga ramai.

"Tetapi hari ini berapa ramai yang masih lagi hidup sedemikian? Jangan rosakkan apa yang kita miliki hari ini hanya kerana teperdaya dengan janji pihak yang mahu memberi segala-galanya secara percuma. Janji di negeri dikuasai pembangkang selama ini tidak terlaksana, adakah kita masih mahu percayakan mereka?" soalnya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment