Malaysia bantu Tanzania dalam kerja asas transformasi ekonomi: Najib
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 Jun, 2013: Malaysia akan menghulur bantuan kepada Tanzania dalam bidang transformasi ekonomi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata demikian dalam akaun Twitter @NajibRazak sebelum berlepas ke negara Afrika itu untuk menghadiri persidangan perkongsian pintar antarabangsa.
"Bersiap sedia untuk terbang ke Tanzania petang ini. Malaysia membantu mereka untuk meletak asas bagi transformasi ekonomi," menurut mesej tweet beliau.
Najib mengetuai delegasi Malaysia ke Dialog Perkongsian Bestari Global bertemakan 'Memanfaatkan Teknologi bagi Transformasi Sosioekonomi Afrika' yang berlangsung empat hari di Dar Es Salaam.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, kehadiran Malaysia dalam dialog itu menunjukkan komitmen negara bagi menangani isu antarabangsa terutamanya isu penting kepada benua Afrika.
Penyertaan Perdana Menteri dalam dialog tahun ini akan turut membantu mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dan negara Afrika yang mengambil bahagian, selain meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Tanzania. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment