Friday, 28 June 2013

Sime Darby dapat kontrak RM80 juta daripada PSA Singapura

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 Jun, 2013: Sime Darby Industrial memperoleh kontrak bernilai RM80 juta daripada PSA Singapore Terminals, hab pemindahan kontena terbesar dunia.

Kontrak itu bakal menyaksikan Terberg Tractors Malaysia Sdn Bhd, usaha sama antara Sime Darby dan Terberg Group dari Belanda, membekalkan sejumlah 299 unit traktor terminal Terberg, dengan opsyen memperoleh 330 unit tambahan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusannya, Chong Kwea Seng berkata, traktor terminal Terberg terkenal atas kecekapan dan kebolehpercayaannya, dua kualiti penting dalam operasi pelabuhan.

"Pemerolehan kontrak ini sangat penting bagi kami memandangkan keperluan PSA merupakan penanda aras industri pelabuhan dunia. Ini membuktikan standard dan kualiti produk yang digunakan dalam operasi mereka," katanya.

Penghantaran pertama kepada PSA membabitkan 49 traktor terminal Terberg mulai Mei 2013 manakala bakinya akan diserahkan pada Februari 2014.

Chong berkata, kontrak itu adalah hasil daripada pembangunan produk yang berterusan bersama syarikat prinsipalnya Terberg Benschop, dan PSA pada unit sedia ada yang sudah pun digunakan.

"Dalam perniagaan, kami yakin terhadap traktor terminal pada 2013. Ia merupakan prospek kukuh di rantau Asia Pasifik, termasuk Singapura, Vietnam dan Indonesia," katanya. 

"Kami mahu mengukuhkan kehadiran di pasaran ini dan meneroka untuk memasuki Taiwan dan Pakistan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment