Friday, 28 June 2013

Pendakwaan tutup kes Shamsubahrin tipu bekas Pengarah NFCorp
 
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 Jun, 2013: Pihak pendakwaan dalam kes ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail yang didakwa menipu bekas Pengarah Syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, hari ini menutup kes selepas memanggil 44 saksi.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis dan menetapkan 9 dan 10 September bagi mereka membuat penjelasan berhubung hujahan itu.

Terdahulu, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Izwan Komel memberitahu mahkamah, Shamsubahrin dan adiknya hadir ke pejabat SPRM di Putrajaya untuk menyerahkan telefon bimbit milik Shamsubahrin, 46, pada 7 Mac 2012.

"Telefon bimbit itu kemudian diserahkan ke bahagian forensik untuk dianalisis. Hasil penelitian saya, tidak ada mesej atau SMS (khidmat pesanan ringkas) yang jelas mengarahkan Shamsubahrin supaya membayar wang rasuah kepada polis untuk menutup kes NFCorp.

"Bagaimanapun, selepas selesai siasatan berhubung SMS itu, saya mencadangkan Shamsubahrin didakwa di bawah Seksyen 27 Akta SPRM 2009 kerana memberi maklumat palsu," kata saksi pendakwaan ke-44 itu pada pemeriksaan utama oleh Ketua Unit Pendakwaan SPRM Datuk Abdul Razak Musa.

Di awal prosiding, pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan pindaan dan selepas dibacakan, Shamsubahrin mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan pindaan menipu Mohamad Salleh membabitkan RM1.755 juta.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhimatan rundingan dan nasihat yang tidak benar sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Sid's Pub di H2, Taman Tunku, Off Langkat Tunku di sini pada 6 petang, 20 November lepas dan didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua hingga kelima, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh dengan memperdayakan beliau supaya menyerahkan empat keping cek yang kesemuanya bernilai RM1.755 juta dan sebahagian daripada wang itu adalah untuk bayaran perkhidmatan rundingan, nasihat dan juga kononnya untuk diberikan kepada pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana, bagi menutup kes yang sedang disiasat polis berkaitan NFCorp.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di beberapa bank di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan di Petaling Jaya antara 25 November 2011 dan 5 Disember 2011.

Shamsubahrin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dia juga berdepan 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment