Friday, 28 June 2013

Sidang DUN Perak 'panas' isu pencalonan Speaker

IPOH, JUMAAT, 28 Jun, 2013: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak 'panas' dengan pertikaman lidah antara pembangkang dan wakil kerajaan apabila pembangkang mempertikaikan soal pencalonan jawatan Speaker oleh Barisan Nasional (BN).

Pertikaman lidah berlaku sebaik sidang bermula jam 3 petang selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Wong Kah Woh mendakwa Pejabat Menteri Besar gagal mengemukakan pencalonan berkenaan.

Beliau terus mempertikaikan isu itu walaupun Setiausaha DUN, Rumaizi Bahari mengesahkan menerima pencalonan itu dan tidak boleh mendedahkan perkara itu kerana terikat dengan sumpah memegang amanah tugasnya selaku Setiausaha DUN. Situasi dewan terus panas apabila ADUN Changkat Jering, Mohamad Nizar Jamaluddin mencelah meminta Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjelaskan perkara itu, mengakibatkan ADUN Kamunting, Datuk Mohd Zahir Khalid membidas Nizar dan meminta Setiausaha DUN meneruskan pemilihan Speaker.

Zambry yang juga ADUN Pangkor kemudian bangun menjelaskan adalah tidak masuk akal jika pihak kerjaaan tidak menghantar pencalonan.

Zambry kemudian mengusul dan mencadangkan Datuk S K Devamany sebagai Speaker manakala pembangkang diwakili ADUN Titi Serong, Abu Bakar Hussain mengusul dan mencadangkan Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar bagi jawatan itu. - BH

No comments:

Post a Comment