Saturday, 29 June 2013

PIKOM unjur gaji profesional ICT naik 8.9 peratus tahun ini

PETALING JAYA, JUMAAT, 28 Jun, 2013: Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) mengunjurkan gaji purata profesional teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negara ini meningkat 8.9 peratus kepada RM7,387 tahun ini berbanding RM6,782 pada 2012.

"Program Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Digital dan projek baharu akan menjadi pemacu utama peningkatan gaji dan industri ICT," kata Pengerusi PIKOM, Woon Tai Hai selepas pelancaran Unjuran Pasaran Kerja 2013 PIKOM, di sini, hari ini.

PIKOM menjalin usaha sama dengan KPMG dan Jobstreet.com dalam menganalisis pasaran pekerjaan itu.

Woon berkata, berbanding beberapa negara maju dengan pertumbuhan secara relatifnya perlahan, Malaysia masih mengalami pertumbuhan walaupun bukan dua angka.

Memetik kandungan laporan itu, beliau berkata, purata gaji permulaan bagi graduan baharu bidang teknologi dan maklumat (IT) meningkat 4.7 peratus daripada RM2,238 pada 2011 kepada RM2,343 pada 2012.

"Walaupun sudah ada peningkatan dalam gaji purata, bekalan graduan baharu IT terus menurun.

"Apabila lebih banyak peluang dan projek dilaksanakan oleh kerajaan, ia membuka peluang yang lebih besar untuk graduan IT," katanya dan menambah pembangunan jualan, pemasaran dan perniagaan kekal dalam senarai lima pekerjaan pakar yang diperlukan oleh majikan. 

Woon berkata, PIKOM menjangkakan gaji permulaan untuk graduan ICT akan berkembang selari dengan peningkatan gaji profesional.

Laporan itu juga menunjukkan syarikat di Lembah Klang menawarkan 1.75 kali gaji lebih tinggi berbanding lokasi gaji paling rendah.

Menjelang 2018, Woon berkata, jurang gaji dijangka selari dengan ekonomi Asia yang rancak seperti Singapura, Hong Kong, China dan Vietnam, dan menambah, "Malaysia perlu terus kekal di depan dalam keluk gaji ini bagi mengelak kekurangan dan kemerosotan bakat kepada negara berkenaan." - BERNAMA

No comments:

Post a Comment