My Add

Wednesday, 1 January 2014

Diberkas selepas 30 minit merompak

* MAZLAN Lazim (tengah) bersama empat pegawainya menunjukkan selaras rifel M-16 yang di gunakan tiga penjenayah semasa rompakan di sebuah kedai serbaneka di Tanah Merah, Kelantan, semalam. - utusan/ Irwan Majid
KOTA BHARU, SELASA, 31 Disember, 2013: Polis menahan seorang daripada tiga penjenayah yang berhenti di sebuah gerai untuk makan, iaitu selang 30 minit selepas mereka merompak sebuah kedai serbaneka dan melepaskan tembakan rambang menggunakan senjata rifel M-16 di bandar ini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8.40 malam itu, dua lagi rakan suspek berjaya meloloskan diri.

Sebelum itu, ketiga-tiga suspek yang memakai topeng dan bersenjatakan selaras rifel M-16 dan parang merompak sebuah kedai serbaneka dan melepaskan satu das tembakan yang mengenai sebuah peti sejuk di dalam premis berkenaan.

Seorang lagi suspek mengacukan parang ke arah dua pembantu kedai seterusnya menyamun wang di kaunter sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan yang dipandu suspek ketiga.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, pasukan itu kemudian mengesan kereta jenis Proton Wira digunakan suspek di sebuah kedai makan berhadapan Depot Tahanan Imigresen, tiga kilometer dari kedai yang dirompak.

"Ketika menghampiri kereta terbabit, kesemua suspek telah bertindak melarikan diri dengan seorang daripadanya ke arah lorong belakang kedai manakala dua lagi di jalan besar di hadapannya.

"Polis kemudian mengejar dan berjaya menahan suspek di belakang kedai itu, kira-kira 100 meter dari situ manakala dua lagi telah meloloskan diri.

"Berlaku pergelutan semasa tangkapan sebelum anggota polis melepaskan tembakan amaran ke udara dan barulah dapat memberkas suspek," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati suspek yang diberkas itu berusia 51 tahun dan berasal dari Rantau Panjang selain mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan menyamar dan menyamun serta turut positif dadah.

Tambahnya, hasil pemeriksaan terhadap kereta berkenaan pula, polis merampas selaras senjata Colt M-16, satu kelopak peluru yang mengandungi 15 butir peluru, 20 butir peluru berukuran 5.56 milimeter (mm) yang disimpan di dalam kotak putih dan parang.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan pihak polis kini sedang memburu dua lagi suspek yang dikenali sebagai Lan dan Mizi berasal dari Wakaf Baru. Mereka dipercayai masih berada di sekitar Kelantan.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 3 Akta SenjatApi (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati," katanya.

Mazlan seterusnya berkata, hasil siasatan awalnya pihaknya mendapati ketiga-tiga suspek pada awalnya hendak merompak kedai emas di bandar ini bagaimanapun premis berkenaan didapati tutup. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment