Sunday, 26 January 2014

Hubungan baik penting - PM

Oleh AZIZI MAJID dan MOHAMAD FIKRI ROSLY

JOHOR BAHRU, SABTU, 25 Januari, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hubungan baik antara Kerajaan Pusat dengan negeri amat penting dalam memastikan kelancaran pembangunan negara.

Menurut Najib, Iskandar Malaysia adalah contoh terbaik hubungan yang baik di peringkat negeri dan Pusat yang berjaya membawa pembangunan menyeluruh untuk jangka panjang.

"Sehingga kini, Iskandar Malaysia telah mencatat pelaburan sebanyak RM131 bilion, dengan 45 peratus daripada pembangunannya telah direalisasikan.

"Ini semua berasaskan pembangunan infrastruktur bernilai RM8 bilion yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan Pusat, seterusnya berjaya mewujudkan 554,000 peluang pekerjaan sejak 2006," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Bingkisan Medini dan penutup Program Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2013 di kediaman rasmi Menteri Besar Johor dekat Saujana di sini malam ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga merupakan Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti); Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang merupakan Naib Yang Dipertua Bakti.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan isteri, Datin Seri Rosni Omar yang juga Yang Dipertua Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Johor (Juita).

Program Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia yang berlangsung selama empat hari itu berakhir hari ini disertai seramai 560 peserta dari 14 negeri termasuk Bakti yang masing-masing bertanding dalam acara badminton dan boling.

Menyentuh mengenai program berkenaan, Najib menyatakan penghargaan kepada Rosmah dan juga isteri wakil-wakil rakyat kerana memahami tugas dan tanggungjawab suami mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat.

"Sokongan intelek ramai yang boleh membantu, tetapi perasaan dan emosi adalah antara kita dan isteri. Jika mereka memahami kita, maka kita dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment