Sunday, 26 January 2014

Peniaga jual ikan segar harga murah

Oleh ADNAN MOHAMAD

 * MUHAMAD Ilias Johan menunjukkan ikan tongkol segar yang dijual pada harga yang lebih murah berbanding peniaga lain di gerainya di Kampung Bintang, Setiu, Terengganu, semalam. - Mingguan/AZLAN BAHRUM
SETIU, SABTU, 25 Januari, 2014: Ketika orang ramai merungut dan resah ekoran kenaikan mendadak harga ikan namun masih ada peniaga yang menjual makanan asas itu dengan harga lebih murah.

Peniaga ikan terbabit, Muhammad Ilias Johan, 27, dari Kampung Bintang di sini sanggup menjual pelbagai jenis ikan segar dengan harga antara RM2 hingga RM4 sekilogram (kg) berbanding penjual lain.

Dia yang berkecimpung dalam perniagaan ikan, ayam serta sayuran sejak lima tahun lalu kini mampu menjual ikannya antara 400kg hingga 500kg sehari di dua gerai di kawasan itu iaitu di Kampung Saujana dan Kampung Bintang.

Bapa kepada dua orang anak itu turut mengakui harga pelbagai jenis ikannya hampir sama dengan harga yang dikenakan peraih lain namun harga yang ditawarkannya lebih murah atas rasa tanggungjawab untuk membantu meringankan beban pembeli berpendapatan rendah termasuk petani dan nelayan.

Muhammad Ilias menjual ikan selayang di gerainya pada harga RM6 sekilogram berbanding harga biasa yang dijual pemborong lain sekitar RM8 hingga RM9 sekilogram.

Begitu juga ikan kembung dijual RM8 sekilogram berbanding RM10 hingga RM12 sekilogram yang dijual peniaga ikan lain, ikan tongkol (RM7 sekilogram) berbanding RM10 hingga RM12 sekilogram selain ikan cencaru berharga RM6 sekilogram.

Menurutnya, biarpun lebih murah, dia tetap memperoleh keuntungan daripada hasil jualan ikannya itu.

"Secara jujur saya beritahu, dengan harga ikan yang saya jual ini, saya hanya dapat untung hampir RM1 sahaja bagi setiap sekilogram.

"Tetapi saya tetap puas kerana dapat juga saya bantu orang susah yang makin tertekan dengan kenaikan harga barangan keperluan harian lain," katanya ketika ditemui di gerai ikannya di Kampung Bintang di sini hari ini.

Dia yang mendapat bekalan ikan di Pelabuhan Tok Bali, Pasir Putih, Kelantan serta Kompleks Ikan Kuala Besut kini mempunyai lima pekerja termasuk isterinya, Rohaya Abdullah, 27, bagi membantu perniagaan di dua gerai miliknya yang beroperasi bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang setiap hari.

Sebelum itu, kata Muhammad Ilias, dia hanya menjual barangan keperluan harian itu di gerainya di Kampung Bintang yang diuruskan oleh Rohaya selain turut menjaja ikan di beberapa kampung sekitar kawasan itu.

Menurutnya, apabila perniagaannya semakin berkembang dia menyewa tapak gerai untuk menjual ikan serta sayur yang terletak berdekatan Sekolah Kebangsaan Saujana hampir dua bulan lalu.

"Saya buka gerai baharu di Kampung Saujana ini bukan kerana saya ingin bersaing dengan peniaga ikan lain sebaliknya untuk kemudahan orang ramai membeli ikan-ikan segar dengan harga berpatutan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment