Saturday, 1 March 2014

Anwar buat percaturan salah

HULU LANGAT, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat percaturan yang salah apabila menyangka beliau akan menerima sokongan penuh pengundi Cina pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebahagian besar pengundi Cina marah dengan tindakan Anwar mengarahkan Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi DUN Kajang pada 27 Januari lalu.

Menurut beliau, masyarakat Cina di kawasan tersebut menganggap Anwar sebagai pemimpin yang angkuh dan bongkak.

"Semasa melawat kawasan di sekitar Kajang, rata-rata penduduk amat marah dengan tindak-tanduk Anwar mengarahkan Chin Cheh mengosongkan kerusi DUN itu tanpa memberi apa-apa alasan semata-mata kerana mahu jawatan Menteri Besar Selangor.

"Ini tidak boleh diterima penduduk di kawasan Kajang," katanya dalam sidang akhbar selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan orang ramai dan peniaga di sekitar Jalan Kwan Tung, Kajang di sini hari ini.

Tiong Lai menambah, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat terlalu yakin pengundi-pengundi Cina di Kajang khususnya di sekitar kawasan Sungai Chua akan menyokong beliau dan PKR secara membuta tuli.

"Saya yakin setiap undi adalah penting. Kita mohon sokongan penduduk Kajang memberi peluang kepada MCA untuk berkhidmat kepada mereka," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment