Saturday, 1 March 2014

Timbalan Presiden PKR: Khalid mahu cabar Azmin

SHAH ALAM, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan hasrat mahu bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini disandang oleh Azmin Ali pada kongres parti itu Mei ini.

Abdul Khalid berkata, bagaimanapun tumpuan utama beliau kini lebih kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

"Buat masa ini, saya mahu fokus kepada pilihan raya kerana masih banyak perkara lagi akan dibincangkan.

"Saya selaku pengarah pilihan raya akan berjumpa dengan pemimpin cabang dan bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya ini," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam Kasih Bertaut di kediamannya di Seksyen 7 di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika ditanya tentang desas-desus yang mengatakan beliau akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti pada Mei ini.

Sebelum ini, hubungan Abdul Khalid dengan Azmin dilaporkan 'tidak begitu mesra' apabila Timbalan Presiden PKR itu sering mengkritik pentadbiran kerajaan negeri melibatkan beberapa isu.

Malah Azmin yang merupakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Negeri Selangor dilaporkan bertindak melalui badan itu mengemukakan memorandum kepada Abdul Khalid ekoran tidak berpuas hati dengan pengurangan peruntukan pembangunan oleh kerajaan negeri pada 7 Oktober 2013.

Selain itu, pada 28 November 2013, Azmin turut menyelar keputusan kerajaan negeri menaikkan gaji dan elaun anggota pentadbiran Selangor di antara 80 hingga 373 peratus berkuat kuasa Januari lalu, selain menganggapnya terlalu tinggi dan perlu ditangguhkan.

Terbaharu, krisis di antara Azmin dengan Abdul Khalid memuncak apabila Timbalan Presiden PKR itu digugurkan daripada jawatan Ahli Lembaga Pengarah PKNS berkuat kuasa 10 Januari lalu.

Bagaimanapun, difahamkan pergeseran antara Azmin dan Abdul Khalid telah bermula sejak 2010 lagi apabila Timbalan Presiden PKR itu mengambil alih jawatan Pengerusi PKR Selangor daripada Abdul Khalid. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment