Sunday, 2 March 2014

Kawasan Bukit Kayu Hitam sarang seludup petrol, diesel

ALOR SETAR, SABTU, 01 Mac, 2014: Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam yang terletak tidak sampai lima kilometer dari sempadan Malaysia dan Thailand kini diklasifikasikan sebagai 'kawasan hitam' yang menjadi sarang kepada kegiatan menyeludup petrol dan diesel ke negara jiran.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Khalid Tik berkata, 'status' itu adalah bersandarkan tindakan pihaknya yang sudah membuat tujuh rampasan dalam tempoh dua bulan di kawasan berkenaan melibatkan nilai rampasan lebih RM70,000.

Katanya, serbuan terbaharu semalam dengan kerjasama Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) berjaya merampas 10,000 liter petrol dan 1,000 liter diesel dalam operasi yang dibuat secara mengejut selepas dua hari mengadakan pemeriksaan melalui sekatan jalan raya.

"Malangnya kami sering gagal melakukan tangkapan memandangkan kebanyakan mereka di sini menggunakan khidmat 'tonto' yang bergerak menggunakan motosikal bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

"Seperti dalam kes ini, sebaik tiba, sudah tiada siapa di sini. Tetapi berdasarkan petunjuk termasuk bekas makanan yang masih penuh dengan nasi dan lauk pauk yang masih baru, kami percaya mereka kelam kabut melarikan diri sebaik dimaklumkan terdapat kenderaan pihak berkuasa masuk ke kawasan ini," katanya di sini, baru-baru ini.

Khalid menambah, modus operandi yang sering digunakan penyeludup adalah dengan mengisi petrol atau diesel ke dalam kenderaan tempatan sehingga penuh sebelum dibawa ke tapak stor haram berkenaan.

"Selepas itu, petrol atau diesel tersebut akan dialihkan ke dalam tangki minyak statik dan dijual kepada lori-lori besar termasuk treler yang sudah pun mengosongkan tangki mereka terlebih dahulu sebelum dibawa masuk ke Thailand," ujarnya.

Beliau dalam pada itu memberitahu, kegiatan tersebut biasanya turut didalangi oleh warga tempatan selain rakyat Thailand.

"Walaupun pekerja mereka sering dapat melarikan diri tetapi pihak kami akan meneliti pemilik tapak stor haram ini untuk mencari dalang sebenarnya.

"Apa pun, kami akan terus memberi tumpuan di kawasan ini memandangkan pemeriksaan awal turut menemukan 10 premis yang memiliki peralatan menyeludup minyak yang kosong," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment