Sunday, 2 March 2014

Operasi buru peniaga warga asing, 190 PATI ditahan

 * AHMAD Zahid Hamidi memeriksa dokumen salah seorang pendatang tanpa izin yang ditahan dalam Operasi Bersepadu 6PI di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur, malam tadi. - MINGGUAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
KUALA LUMPUR, SABTU, 01 Mac, 2014: Seramai 500 warga asing diperiksa dalam operasi bersepadu bagi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjalankan perniagaan menggunakan permit milik rakyat tempatan di Jalan Silang, di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 190 PATI ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa supaya melakukan pemantauan secara berterusan terhadap pemilik premis yang didapati menyewakan premis kepada warga asing.

"Pihak berkenaan (PBT) perlu memikul tanggungjawab dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada secara tegas bagi mengelakkan penyalahgunaan lesen premis perniagaan," katanya ketika ditemui selepas Ops Bersepadu 6P di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat.

Ahmad Zahid seterusnya meminta para majikan mengambil inisiatif mengusahakan perniagaan mereka dengan menggunakan tenaga tempatan berbanding warga asing.

Sementara itu, di ALOR GAJAH, Ahmad Zahid berkata, Ops Bersepadu 6P melibatkan Jabatan Imigresen, PBT, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu bagi memastikan masalah peniaga warga asing tanpa izin ditangani sepenuhnya.

"Rata-rata rakyat rasakan peluang perniagaan mereka sudah direbut dan dirampas oleh pendatang asing.

"Saya ingin memberitahu rakyat Malaysia (yang sewa atau jual permit) juga perlu disalahkan... Jangan sewa lesen, jangan jual lesen kerana ia diberi kepada warganegara Malaysia untuk kerajaan bantu mereka meningkatkan taraf kehidupan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Rakyat anjuran UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini, yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment