Saturday, 1 March 2014

Rakyat Filipina hargai usaha Malaysia bantu mangsa taufan Haiyan

PUTRAJAYA, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Presiden Filipina, Benigno S. Aquino mewakili seluruh rakyat Filipina menghargai usaha Malaysia menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa taufan Haiyan, tahun lalu.

Aquino kemudian menarik perhatian pemberita dengan mengucapkan 'terima kasih' dan 'maraming salamat' (bahasa Tagalog) dalam sidang akhbar bagi menggambarkan penghargaan tersebut selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami tidak akan melupakan jasa baik anda semua dan sekali lagi saya mewakili rakyat Filipina mengucapkan jutaan terima kasih," ujarnya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri selepas mengadakan pertemuan di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Menyentuh pertemuannya dengan Najib hari ini pula, Aquino berkata, perbincangannya dengan Perdana Menteri mampu memberi pelbagai manfaat kepada kedua-dua negara khususnya menerusi kerjasama pelaburan dan perdagangan.

Ujar beliau, salah satu usaha itu boleh dilihat menerusi pembukaan stesen minyak Petron di Malaysia yang disifatkan sebagai simbol kerjasama antara kedua-dua negara.

"Saya juga berbincang bersama Perdana Menteri bagaimana Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan di Mindanao termasuk menarik para pelabur ke wilayah tersebut.

"Kami juga mempelawa Malaysia menceburi industri kelapa sawit dan bidang pertanian lain di Filipina kerana sektor ini boleh membuka banyak peluang kepada rakyat kedua-dua negara," katanya.

Dalam pada itu, Aquino dalam sidang akhbar tersebut turut menyatakan kepentingan mengenai mesyuarat Suruhanjaya Bersama (CJM) ke-8 antara Filipina dan Malaysia yang akan diadakan pada tahun ini.

"Mesyuarat ini akan memberi banyak peluang kepada Malaysia dan Filipina bagi memperhalusi perbincangan dalam usaha meningkatkan lagi hubungan serta kerjasama dua hala antara kita," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment