Saturday, 1 March 2014

Malaysia tawar kepakaran

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD DAN JUANI MUNIR ABU BAKAR

* NAJIB Tun Razak dan Benigno S. Aquino III (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (kanan) dengan Menteri Luar Filipina, Albert Del Rosario (dua dari kiri) sempena lawatan rasmi dua hari Aquino ke Malaysia di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Malaysia berminat menawarkan kepakaran dalam bidang kewangan Islam kepada Filipina dan membantu mempromosikan produk halal di negara berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, idea itu muncul selepas Presiden Filipina, Benigno S. Aquino III mahu Malaysia turut bersama-sama melaksanakan sistem kewangan Islam di negaranya.

"Kita sedia menyahut permintaan itu dengan menawarkan khidmat latihan kewangan dan perbankan Islam kepada rakyat Filipina.

"Filipina juga berminat dengan potensi pasaran halal dipromosikan antara kedua-dua negara," katanya dalam sidang akhbar bersama selepas mengadakan pertemuan bersama Aquino di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, jumlah dagangan dua hala kedua-dua negara kini mencecah kira-kira RM14.7 bilion (AS$4.5 bilion) dan beliau yakin nilai itu boleh ditingkatkan dengan melihat potensi saiz Filipina yang cukup besar.

"Selain pelaburan dan perdagangan, banyak lagi kerjasama yang boleh dilakukan antara kedua-dua buah negara.

"Malah, kedua-dua kerajaan bersetuju meningkatkan jumlah dan nilai dagangan dua hala," katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga akan terus mengukuhkan kerjasama bersama Filipina atas semangat ASEAN selain memastikan kedua-dua negara mencapai kemajuan, kemakmuran dan kestabilan ekonomi di rantau ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment