MH370: Tiada pelabur China tarik diri
Oleh AZMAN IBRAHIM
KUALA LUMPUR, ISNIN, 31 Mac, 2014: Tiada pelabur China yang menarik pelaburan mereka dari negara ini berikutan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, sejak 8 Mac lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, hubungan dagangan di antara Malaysia dan republik itu semakin kukuh.
Jelasnya, insiden tersebut tidak menjejaskan hubungan kedua-dua negara sebaliknya saling menyokong di antara satu sama lain.
"Tiada tekanan daripada pihak pelabur China mahu pun masyarakat peniaga di negara itu terhadap Malaysia. Setakat ini, kami dapati tekanan hanya di pihak agensi pelancongan dari China yang terlalu emosi dan bertindak memboikot syarikat penerbangan dari Malaysia, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku berjudul The Headless Chicken and The Spark.
Buku tersebut telah ditulis oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Rebecca Fatima Sta Maria, Angelina Gurunathan, Aedreena Reeza Alwi dan Alvin Ung.
Buku dengan 172 halaman itu adalah untuk diedarkan secara percuma kepada kira-kira 2,000 kakitangan MITI.
Sementara itu, Rebecca Fatima menambah, pihaknya telah berjumpa dengan perwakilan daripada Kementerian Perdagangan China di sini.
Hasil perbincangan itu menunjukkan insiden kehilangan pesawat MH370 bukan faktor yang boleh menjejaskan hubungan ekonomi kedua-dua negara, katanya.
Malah, kedua-dua pihak juga sedang merancang untuk menjalankan sambutan ulang tahun memperingati hubungan dagangan Malaysia dan China ke-40 tahun pada akhir Mei ini.
"Tiada apa yang terjejas mengenai hubungan dua negara buat masa ini. Apa yang paling penting, kedua-dua negara sedang berusaha untuk mencari jawapan dalam penyiasatan kehilangan pesawat berkenaan, ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment