Tuesday, 1 April 2014

Penyeludup berani guna Bangunan Sultan Iskandar

 * RAMLI Johari menunjukkan sebahagian arak yang dirampas dalam sidang akhbar di Menara Kastam Johor, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
JOHOR BAHRU, ISNIN, 31 Mac, 2014: Satu sindiket penyeludupan arak seolah-olah mencabar pihak berkuasa apabila dikesan melakukan jenayah itu menggunakan laluan pintu masuk ke negara ini di Bangunan Sultan Iskandar di sini.

Sindiket menggunakan empat van dengan setiap kenderaan dianggarkan membawa 4,000 hingga 8,000 tin arak itu, bagaimanapun ditumpaskan Jabatan Kastam negeri ini, Jumaat lalu.

Dalam kejayaan itu, sejumlah arak pelbagai jenis bernilai RM52,678 dirampas.

Pengarah Jabatan Kastam negeri, Datuk Ramli Johari berkata, dalam tangkapan pukul 10.50 malam itu, pihaknya turut menahan empat lelaki rakyat tempatan berusia 30 hingga 50-an yang merupakan pemandu empat van berkenaan.

"Hasil pemeriksaan kita dapati setiap van membawa arak yang disyaki belum mendapat kelulusan pihak kastam, melibatkan duti import, cukai jualan dan duti eksais keseluruhannya berjumlah RM135,264.

"Empat pemandu van itu melalui laluan masuk kenderaan penumpang di bangunan tersebut secara berturutan," katanya dalam sidang akhbar di Menara JKDM Johor, di sini hari ini.

Menurut Ramli, kesemuanya ditahan reman bagi membantu siasatan kes dipercayai didalangi sindiket yang bukan sahaja menyeludup arak malah barangan lain termasuk rokok.

Kata beliau, pihaknya percaya barangan seludup itu diambil dari negara lain dan Singapura hanya dijadikan sebagai pusat transit.

"Kami sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap sindiket terbabit dan turut menjalin kerjasama erat dengan agensi lain seperti pihak polis, bagi menangani perkara itu," katanya.

Ramli berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang boleh didenda maksimum 20 kali dari nilai keseluruhan atau tidak lebih tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, sejak Januari sehingga hari ini, pihaknya menumpaskan lapan kes penyeludupan di Bangunan Sultan Iskandar membabitkan rokok dan arak. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment