Tuesday, 1 April 2014

Perogol bersiri diperintah bela diri

TEMERLOH, ISNIN, 31 Mac, 2014: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan perogol bersiri, Rabidin Satir atau digelar 'Rambo Bentong' membela diri atas tuduhan membunuh dan merogol seorang remaja berusia 17 tahun, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Rabidin, 43, yang berasal dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah.

Dalam penghakimannya, Hakim Ab. Karim berkata, bukti asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh daripada pakaian mangsa didapati sepadan dengan DNA milik tertuduh.

Menurut beliau, berdasarkan bukti itu, mahkamah mendapati tertuduh adalah orang terakhir yang berada bersama mangsa pada hari kejadian.

"Walaupun ada kehadiran DNA pihak ketiga tetapi mahkamah berpuas hati dengan keterangan saksi-saksi. Malah tidak ada keterangan bercanggah bahawa terdapat orang lain pada waktu kejadian," katanya.

Beliau berkata, kecederaan iaitu kesan kelar di leher mangsa juga disahkan telah menyebabkan kematian remaja terbabit.

Rabidin didakwa membunuh Annie Kok Yin Cheng, 17, antara pukul 11.30 malam, 7 Mac 2009 dan 1.50 petang, 8 Mac 2009, di Lot 4168 Kampung Ketari, Bentong dekat sini.

Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 302

Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Lelaki itu turut didakwa merogol mangsa sehingga menyebabkan kematiannya di tempat dan masa yang sama, mengikut Seksyen 376(4) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Rabidin yang tidak bekerja diwakili peguam Richard Bong Chong Fook, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mustaffa.

Hakim Ab. Karim menetapkan 6 Mei ini untuk Rabidin membela diri setelah tertuduh memilih memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Pada 5 Februari tahun lalu, Rabidin dihukum penjara berjumlah 115 tahun dan sebatan 50 kali selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub terhadap empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan seks luar tabii ke atas empat mangsa berumur antara lapan dan 17 tahun. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment