ALOR SETAR, RABU, 29 Mei, 2013: Hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan 'Bandaraya Getah' di Kota Putra, Padang Terap menerusi aku janji Barisan Nasional (BN) Kedah, dilihat mampu menarik minat generasi muda menceburi sektor pertanian dan industri.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd Tajudin Abdullah, berkata pendekatan itu membolehkan generasi muda meneruskan usaha keluarga mereka melalui penggunaan teknologi tinggi sekali gus, membantu meningkatkan produktiviti getah negara.
Katanya, golongan muda perlu memanfaatkan peluang berkenaan memandangkan Kedah adalah penyumbang terbesar getah negara dan mempunyai keluasan 85,000 hektar kawasan getah.
"Generasi muda jangan lepaskan peluang ini dan sama-sama beri sokongan terhadap cadangan untuk tubuhkan Bandaraya Getah. Ia bukan saja dapat majukan negeri ini, malah turut majukan kawasan sekitar dan rakyat.
"Pelbagai industri huluan dan hiliran juga turut berkembang dan sekali gus menjadikan kawasan Bandaraya Getah maju seperti di Kulim Hi-Tech," katanya kepada pemberita ketika pelancaran Kelab Generasi Muda Risda (KGMR) Explore GAP Kedah, di Stesen Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Pokok Sena, dekat sini, hari ini.
Tajudin berkata, walaupun projek itu di peringkat perbincangan, namun dengan sokongan rakyat dan agensi terbabit, hasrat kerajaan negeri untuk memajukan Kedah seiring dengan negeri lebih maju akan tercapai.
"Kita akan tunggu pengumuman yang akan dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir nanti," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik berkata, seramai 60 generasi muda Risda terbabit dalam program KGMR Explore GAP Race anjuran RISDA itu.
Melalui program berkenaan, generasi muda akan didorong supaya mewarisi pekerjaan keluarga sebagai pekebun kecil yang berilmu pengetahuan sekali gus mampu memperoleh pendapatan lumayan.
Dalam pertandingan itu, peserta akan dinilai melalui amalan pertanian baik dalam aspek penanaman anak pokok getah, pembajaan dan penggunaan racun perosak. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment