Tuesday, 28 May 2013

RTM, Utusan anjur Anugerah Tribute P. Ramlee


 *AHMAD Jailani Muhamed (dua kiri) bersama Mohd. Nasir Ali (kiri) dan Johari Saharani melihat trofi Anugerah P. Ramlee ketika sidang akhbar mengenai penganjuran Anugerah Tribute P. Ramlee di Subang Jaya, Selangor hari ini. - UTUSAN
KUALA LUMPUR, SELASA, 28 Mei, 2013: Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Kumpulan Utusan dan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. akan menganjurkan Anugerah Tribute P.Ramlee pada 7 Jun depan, bertempat di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Bahagian Strategik Jabatan Penyiaran Malaysia, Dr. Jailani Mohamed Yunus berkata, acara berprestij itu diadakan bagi memperingati perjuangan seniman agung tersebut dalam memartabatkan industri hiburan negara.

Kata beliau, sebanyak sembilan anugerah dipertanding berdasarkan 10 telefilem yang ditayangkan melalui slot Tribute P.Ramlee di TV1 mulai November 2012 hingga Mei 2013.

"Program berbentuk pertandingan ini adalah berdasarkan lagu-lagu allahyarham P.Ramlee yang difilemkan, ini juga merupakan salah satu usaha kami menjenamakan semua rancangan televisyen di RTM.

"Sebuah panel khas juri seramai tujuh orang ditubuh bagi setiap kategori yang dipertandingkan, selain sebuah jawatankuasa khas bagi mencari pemenang anugerah seniman dan seniwati yang akan diumumkan pada malam anugerah itu nanti," katanya.

Beliau ditemui dalam sidang akhbar khas Anugerah Tribute P. Ramlee di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan Timbalan Pengarah Seksyen Hiburan dan Program RTM, Jack Nadarajah.

Sembilan kategori dipertandingkan dalam Anugerah Tribute P. Ramlee iaitu Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik, Skrip Terbaik, Telefilem Terbaik, Videografik Terbaik dan Penampilan Istimewa Terbaik.

Sebanyak 10 buah telefilem mengambil bahagian antaranya Tunggu Sekejap arahan Along Kamaludin, Getaran Jiwa arahan Michael Ong dan Miang Buluh Keladi Bira arahan Bade Haji Azmi.

Setiap pemenang akan membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai sebanyak RM 5,000.

Menurut Jailani, sebagai media rasmi, siaran lansung anugerah tersebut boleh diikuti di TV1, TVI, Radio Nasional FM dan RTM Mobile bermula pukul 9 sehingga 11 malam.

Katanya lagi, pembaca juga berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai bernilai RM 3,000 melalui borang peraduan pencalonan yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dan Majalah URTV sehingga 31 Mei ini.

"(Akhbar) Utusan Malaysia menyediakan hadiah buat pemenang yang menghantar borang penyertaan paling tepat dan terbanyak," ujar beliau. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment