Tuesday, 28 May 2013

Syabas serbu tapak pembinaan LRT curi air

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD

 *SEORANG pekerja kontrak Syabas melakukan pemotongan bekalan air di tapak projek stesen Transit Aliran Ringan (LRT) kerana membuat sambungan bekalan air secara haram di Sri Keladi, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN
KUALA LUMPUR, SELASA, 28 Mei, 2013: Sebuah tapak pembinaan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Sri Keladi, Bukit Jalil hari ini diserbu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd (Syabas) selepas pemaju projek itu melakukan kegiatan mencuri air sejak dua tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Projek dan Bahagian Kehilangan Air Tanpa Hasil (NRW) Syabas, Yusof Badawi berkata, pembongkaran yang dilakukan pihaknya itu membabitkan kerugian sebanyak RM98,179.

"Kita menemui sebatang paip getah bersaiz 16 milimeter (mm) yang disambungkan di tetiang meter yang tidak bermeter di sebuah kawasan stesen janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) Sri Keladi.

"Pembongkaran ini adalah hasil siasatan Syabas susulan aduan yang diterima daripada penduduk mengenai tekanan air rendah yang kerap berlaku di kawasan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negara (SPAN) mendapati lokasi itu tidak mempunyai akaun berdaftar dan tiada meter air milik Syabas ditemui di tapak pembinaan berkenaan. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment