My Add

Tuesday, 3 September 2013

PERKESO lancar Ops Kesan buru majikan tidak mendaftar

KUALA LUMPUR, SELASA, 03 September, 2013: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melancarkan 'Ops Kesan PERKESO' dengan mensasarkan pemeriksaan terhadap 50,000 premis di seluruh negara bagi menjejaki majikan yang tidak melaksanakan pendaftaran pekerja.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk K Selvaraj, berkata tempoh dua bulan sudah diperuntukkan kepada majikan untuk membuat pendaftaran pekerja, malah kempen dan ceramah turut dianjurkan di seluruh negara bagi memberi peluang sebelum Ops Kesan dilancarkan secara besar-besaran hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan lebih 1,000 pegawai penguatkuasa PERKESO mendapati masih ada majikan yang tidak mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969, membabitkan pelbagai kesalahan.

"Ada dua kesalahan utama yang dilakukan majikan iaitu tidak mendaftarkan perniagaan, manakala pekerjanya tidak mencarum dengan PERKESO.

"Atas kesalahan ini, kompaun antara RM500 sehingga RM4,000 dikenakan terhadap majikan, mengikut tempoh masa kesalahan," katanya pada sidang media.

AKSP 1969 menggariskan majikan perlu mendaftarkan pekerja dalam tempoh sebulan dari tarikh mula perkhidmatan.

Kegagalan berbuat demikian, majikan boleh didakwa mengikut Seksyen 5, AKSP 1969 dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya.

Selvaraj berkata, kaedah penguatkuasaan kali ini lebih bertumpu ke arah mendidik majikan supaya mematuhi arahan demi menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja.

Sehubungan itu, katanya, jika pendaftaran pekerja dilaksana dalam tempoh seminggu dari tarikh kompaun, nilai kompaun boleh dikurangkan. - BH

No comments:

Post a Comment