Tuesday, 7 January 2014

Kes Lahad Datu: Mahkamah Tinggi bersidang di penjara

KOTA KINABALU, ISNIN, 06 Januari, 2014:: Perbicaraan kes 30 individu yang berdepan pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong serta terbabit dalam pelbagai kegiatan keganasan di Sabah awal tahun lepas, bermula di Mahkamah Tinggi hari ini, yang bersidang di Penjara Sabah di sini.

Saksi pertama pendakwaan ialah bekas Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerak Khas) Bukit Aman, Datuk Abdul Rashid Harun.

Beliau yang kini Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Lahad Datu, memberi keterangan mengenai hasil risikannya terhadap kumpulan tersebut.

Daripada 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan keganasan di Sabah antara 12 Februari dan 10 April, 22 daripadanya termasuk dua rakyat Malaysia, didakwa menganggotai kumpulan pengganas, dan jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup dan denda.

Mereka turut berdepan pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan dijalankan di depan Hakim Stephen Chung dibantu pasukan pendakwaan tujuh anggota diketuai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, manakala sejumlah 10 peguam mewakili tertuduh termasuk pasukan pembelaan enam anggota diketuai peguam, Datuk N. Sivananthan bagi 28 tertuduh.

Perbicaraan bersambung esok. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment